Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau PinangViral

Telur Masin Mampu Jana Pendapatan Lumayan

By 31 Mei 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Norhayani Hashim & Mohd Zahari Zakaria (Seberang Perai)

PULAU PINANG, 31 Mei (Malaysiaaktif) – Telur masin merupakan makanan sampingan popular yang enak dimakan bersama nasi dan lauk-pauk lain, terutamanya pada bulan puasa.

Penjualan telur masin ini juga amat laris dan mendapat permintaan yang tinggi daripada pembeli. Kebiasaannya, telur yang dijadikan telur masin ialah telur itik dan ayam Piru.

Kursus (1)

Azizah A.Rashid, 70, seorang ibu tunggal yang telah kematian suami pada 2010 mula memelihara itik telur di dalam sangkar di halaman rumahnya di Kampung Permatang Manggis untuk mengisi masa lapang.

Mula membela 10 ekor itik telur pada 2013, Azizah menambahkan bilangan itik-itiknya menjadi 35 ekor pada 2014. Setiap hari, telur yang dikutip daripada itik-itik peliharaannya boleh mencecah sehingga 25 biji.

Menurut Azizah, penghasilan telur-telur itik yang kian bertambah dari hari ke hari merupakan pencetus ilham untuk dia mula membuat telur masin.

Azizah (1)

Azizah mula mempelajari cara membuat telur masin dengan bertanya kepada orang-orang yang lebih berpengalaman dalam proses tersebut. Malah Azizah turut berani membuat percubaan sendiri dalam menghasilkan telur masin yang lebih berkualiti.

Sebelum ini, kursus pembuatan telur masin anjuran Jabatan Veterinar Negeri Pulau Pinang di Kampung Kubang Menerong telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

Kursus (3)

Menurut Ahli Jawatankuasa Komuniti 1Malaysia (K1M) Kampung Tun Sardon, Hasrol Nizam, banyak maklumat yang berguna dapat digunakan untuk membuat telur masin.

“Cara membuatnya mudah, malah dapat memberi pulangan yang lumayan jika diusahakan secara serius.”

“Pembuatan telur masin ini juga boleh dijadikan sebagai produk komuniti yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat kampung,” ujarnya lagi.

Kursus (4)

Tambahnya, dengan adanya tunjuk ajar dan sokongan daripada Jabatan Veterinar, produk ini mampu dipasarkan secara meluas ke seluruh negara.

 

 

– AH/SF

Tinggalkan komen anda