
Oleh: Diyana Zamri / Foto: Mohamad Bashyar (Putrajaya)
KUALA KANGSAR, 16 Jun (Malaysiaaktif) – Seramai 200 orang golongan asnaf hari ini menerima bantuan zakat berjumlah RM40,000 daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner, ini merupakan program Tanggungjawab Zakat Korporat (CZR) SSM.
“Seramai 200 orang asnaf dengan zakat sebanyak RM200 seorang telah diagihkan oleh SSM daripada jumlah keseluruhan zakat pada hari ini.
“Ini adalah sumbangan zakat daripada SSM berdasarkan daripada pulangan yang kita dapat balik untuk tahun 2015.
“Jumlah peruntukan zakat untuk diagihkan juga melalui pusat zakat yang diiktiraf oleh Majlis Agama Negeri di Malaysia. Kita tidak boleh saja-saja bagi kerana asnaf ada syarat-syarat tertentu,” jelas Zahrah ketika ditemui di Majlis Iftar Bersama Asnaf dan Tahfiz.
Tambah Zahrah, objektif program ini adalah untuk membantu golongan memerlukan dan meringankan beban yang mereka hadapi.
“Program ini juga merupakan satu inisiatif sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melihat mereka yang tidak berkemampuan turut merasai keprihatinan kerajaan,” katanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin merasmikan majlis tersebut di Masjid Idrisiah Kedua Sayong Tengah, di sini, petang tadi.
-AAS