
Oleh Mohd Muhaimin Amran
JASIN, 25 Jun (Malaysiaaktif) – Acara mengacau ‘Kelamai’ atau lebih dikenali sebagai Dodol, secara umumnya aktiviti tahunan yang diadakan sempena Festival Kuih Tradisional Negeri Melaka.
Festival ini mendapat sokongan Pelancongan Melaka dan Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Melaka dengan kerajsama 16 agensi.
Lebih 300 orang semalam mengambil bahagian untuk mengacau sejumlah 16 kawah Kelamai yang menjadi tarikan utama festival dua hari yang turut dipenuhi pelbagai acara lain
Kampung Sri Kesang muncul sebagai Johan diikuti Kampung Rim dan seterusnya Kampung simpang Bekoh ditempat yang ketiga. Pemenang dipilih berdasarkan semangat berpasukan yang ditunjukkan sepanjang festival berlangsung.
Antara yang terlibat termasuk Politeknik Merlimau, Pejabat Daerah dan Tanah Jasin, Pertubuhan Peladang Kawasan Jasin, Majlis Perbandaran Jasin dan Jabatan Belia dan Sukan Melaka.
Seorang peserta, Zaini Hashim, 37, berpendapat acara tersebut merapatkan hubungan di antara semua peserta dan mempromosikan ‘kelamai’ kepada orang luar.
Setiausaha Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Rim, Abu Supian Abu Samah berkata walaupun program ini dirancang dan dilaksanakan setiap tahun, namun pengisiannya sentiasa berubah bagi membolehkan peserta merasai tujuan sebenar.
Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, acara sebegini tidak perlu berakhir begitu sahaja, sebaliknya perlu diteruskan dan dijadikan acara kalender tahunan untuk mempromosikan Pelancongan Melaka.
Idris juga sempat ‘berseloroh’ dengan berkata, festival ini juga dipenuhi dengan air mata, kerana pedih mata disebabkan asap daripada 16 buah kawah yang cukup meriah.
Program ini dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Haji Ahmad Hamzah; Ahli Dewan Undangan Negeri( ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman; ADUN Bemban, Datuk Ng Choon Koon; Pegawai Daerah Jasin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin dan Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Datuk Abd Rahman Kasim.