
Oleh: Nor Adilah Abdullah (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 28 Jun (MalaysiaAktif) – Sebanyak 15 Komuniti 1Malaysia terlibat dalam Program Bubur Lambuk di Dewan Felda Pasak di sini, semalam.
Uniknya, program anjuran Jabatan Penerangan Daerah Kota Tinggi ini turut melibatkan kaum India dalam proses memasak bubur lambuk.
Menurut Pengerusi Komuniti 1Malaysia Kaum India Kota Tinggi, Vadeveloo Suppiah, program ini adalah program pertama yang disertai oleh Komuniti 1Malaysia Kaum India sejak ditubuhkan pada bulan April lepas.
“Ini merupakan pengalaman yang baru bagi kami, kaum India, dapat mempelajari bubur lambuk disamping dapat berkenalan dengan ahli–ahli komuniti yang lain,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri, Rasman Ithnain yang turut hadir berkata adalah menjadi peranan Jabatan Penerangan bagi melibatkan kaum bukan Melayu dalam program yang dianjurkan untuk mengeratkan perpaduan antara kaum, selain menyebarkan dasar–dasar kerajaan kepada masyarakat.
– AH