
Oleh Mastika Hablum/Noraidah Mat Seh
ALOR GAJAH, 26 Jun (Malaysiaaktif) – Setiap kali tiba bulan Ramadan, pasti muncul bubur lambuk dalam barisan pelbagai juadah untuk berbuka puasa.
Dengan itu, masyarakat Orang Asli Bukit Payung bersama Komuniti 1Malaysia (K1M) Bukit Payung dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Alor Gajah semalam bersama-sama bergotong royong menyediakan bubur lambuk.
Penyediaan bubur dimulakan seawal pukul 8.00 pagi persiapan bahan-bahan secara gotong royong bersama-sama masyarakat orang asli yang beragama Islam.
Usaha yang dilakukan di Surau Al- Ikhwan, Kampung Bukit Payung ini menyediakan dua periuk untuk diagihkan kepada penduduk orang asli di kampung ini, selain untuk dijadikan sebagai jamuan berbuka puasa.
“Dalam menyediakan bubur lambuk ini makcik menggunakan bahan-bahan asal untuk membuat bubur tetapi menggunakan campuran susu cair bagi menggantikan santan bagi melahirkan rasa berlainan daripada bubur lambuk lain,” ujar Jenah Sulak..
Menurutnya, resepi bubur lambuk tersebut merupakan resepi turun temurun dari nenek moyang beliau yang terdahulu.
Program Masak Bubur Lambuk ini anjuran K1M Kampung Bukit Payung dengan kerjasama JAKOA Alor Gajah.