
Oleh: Zaharah Ismail dan Azri Zainal Abidin
KUALA LUMPUR, 26 Jun (Malaysiaaktif) – Rang Undang-undang (RUU) 355 menyatakan hukum hudud tidak melibatkan individu yang bukan beragama Islam.
Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff di dalam ucapannya sempena Program Nur Ramadan kali ke-10 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, hari ini.
“Ini perlu dijelaskan kerana ada pihak yang cuba mencetuskan perkara tidak baik terhadap kerajaan sedia ada”, ujarnya.
Kawasan Seputeh yang majoriti masyarakat bukan Melayu tetapi dapat hidup secara harmoni dan aman perlu dijadikan contoh oleh masyarakat luar. Wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat sepatutnya menjalankan tanggungjawab kepada pengundi tanpa berbelah bahagi.
“Masyarakat setempat merupakan tonggak utama kejayaan program hari ini. Penerima sumbangan bukan sahaja terdiri daripada masyarakat Islam tetapi mereka yang bukan beragama Islam turut diberi bantuan dan diraikan pada hari ini,” katanya lagi.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Haji Mhd Amin Nordin Abd Aziz dalam ucapan perasmiannya berkata, “Pelancong dari luar negera dapat melihat suasana harmoni dijalankan di mana rakyat Malaysia dapat berkongsi meraikan sesuatu perayaan atau keraian seperti Nur Ramadan”.
“Diharap dengan adanya program ini dapat membantu mereka yang memerlukan, tidak mengira bangsa mahupun agama kerana Islam itu sendiri mengajar umatnya untuk sentiasa bersedekah.”
Nur Ramadan Parlimen Seputeh diadakan di perkarangan Surau Ar-Raudah, Teratak Muhibbah 2, Taman Desa dan dihadiri 1,000 orang masyarakat setempat.
“Nur Ramadan Kawasan Seputeh diadakan di kawasan terbuka pada kali ini supaya lebih ramai masyarakat dapat terlibat dalam program ini”.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Haji Mohd Sani Mistam dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Roslan Hassan.
DK