Oleh: Diyana Zamri / Foto: Nazri Rapaai & Pradeeb Kumar (Putrajaya)
KUALA KANGSAR, 13 Jun (Malaysiaaktif) – Empat anak jati Kuala Kangsar hari ini menuntut Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli untuk memperjelaskan kenyataan yang dibuatnya ketika ceramah Parti Amanah Negara (Amanah) baru-baru ini sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar.
Wakil kumpulan anak jati Kuala Kangsar ini, Mohamad Halim Mohamad Ali, 37, berkata mereka mendapat tahu mengenai perkara ini ketika melayari laman Facebook seorang pengguna, Norazniza Abdul Karim dan juga di portal dalam talian, UtaraNews.com, ‘#PRKKualaKangsar: Rafizi Mahu Pakar Nuklear Letupkan Dewan Parlimen’.
Menurutnya, mereka berempat masing-masing membuat laporan polis di dua balai polis berlainan, Balai Polis Kuala Kangsar dan Balai Polis Manong semalam kerana merasakan kenyataan Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu memberi ancaman kepada penduduk Kuala Kangsar dan juga kepada negara.
“Perkara ini sepatutnya memang tidak berlaku. Tidak kiralah parti mana pun, tidak kiralah PKR ke, PAS (Parti Islam Se-Malaysia) ke, Amanah ke, Barisan Nasional ke, perkara ini tidak harus disebut. Ancaman mengenai bom, bunuh orang, bakar orang ini memang tidak boleh. Kita sensitif dengan perkara-perkara macam ini,” tegas Halim kepada pemberita pagi tadi di Kampung Banjir.
Tambahnya lagi, mereka ini tidak mewakilli mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) atau parti politik tetapi membuat laporan polis kerana rasa tanggungjawab sebagai anak tempatan Kuala Kangsar selain merasakan keamanan di daerah Kuala Kangsar ini akan terganggu dengan kenyataan Rafizi.