
Oleh : Robani Nabi Ahmad (Kota Bharu)
KOTA BHARU, 13 Jun (Malaysiaktif) – Kemunculan ‘colek’ setahun sekali pada bulan Ramadan kini menjadi tumpuan orang ramai yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum menikmati hidangan tersohor itu khususnya di Kelantan.
Colek merupakan hidangan yang seumpama rojak atau pasembor, cuma bahannya yang berbeza dan kebiasaanya colek dinikmati selepas solat tarawih.
Tinjauan Malaysiaaktif di sekitar bandar Kubang Kerian mendapati setiap malam selesai solat tarawih, kedai yang menjual colek pasti akan dipenuhi orang ramai. Salah satu kedai colek yang paling mencuri tumpuan di Pasir Tumboh adalah Restoran Bonda.
Pemilik restoran berkenaan, Mohd Zain Daud, 40, berkata, hidangan colek sudah menjadi tradisi dan budaya masyarakat Kelantan setiap tahun.
Katanya, colek ayam dan colek buah sangat laris dan mendapat permintaan tinggi kerana keenakan kuah yang diwarisi sejak turun temurun mampu memikat hati pelanggan.
“Sambutan yang hebat ini menyebabkan saya meminta bantuan adik beradik bagi membantu saya sepanjang Ramadan ini, dan setiap malam saya memperolehi pendapatan lebih kurang RM3000,” jelasnya.
Sementara itu seorang pengunjung, Khairul Zaki, 35, berkata, selesai solat Tarawih dia akan membawa keluarga untuk menikmati colek.
“Keluarga saya sangat menggemari colek ayam dan perut, kerana kuahnya yang enak, harganya juga berpatutan, sepinggan colek RM 5 hingga RM10 mengikut kuantiti” katanya ketika menikmati hidangan colek bersama-sama keluarga di sini.
-SH