Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

KPKT Lulus Projek Mini Arena RM500,000

By 13 Jun 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

 Oleh: Diyana Zamri / Foto: Muhairul Azman Supian (Putrajaya)

KUALA KANGSAR, 12 Jun (Malaysiaaktif) – Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kajian Tempatan (KPKT), Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini mengumumkan sebuah projek telah diluluskan untuk membina infrastruktur mini arena di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Fasa 4, Jalan Sultan Iskandar, di sini.

Menurutnya, projek yang bernilai RM500,000 itu bakal dilaksanakan pada tahun ini juga. Sebelum ini, projek yang pernah dimohon oleh mantan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad ini telah mendapat kelulusan, namun, hanya diumumkan hari ini kepada penduduk setempat.

Tambah Rahman, KPKT turut mempunyai perancangan untuk membangunkan sebuah kompleks bazar di Kuala Kangsar. Berikutan itu, pihak Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) telah menyediakan sebuah tapak untuk kompleks tersebut.

“Saya difahamkan bahawa tapak yang disediakan oleh MPKK pun besar dan boleh menampung satu kompleks yang cukup besar, yang bukan sahaja memenuhi citarasa penjaja dan pembeli tetapi yang lebih penting menjadi tarikan pelancong kepada Kuala Kangsar ini. Itu kosnya lebih kurang RM30juta.

“Kerana kos pembinaan kompleks ini yang besar, saya akan berunding dahulu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan kelulusan,” kata Rahman ketika berucap di Majlis Perasmian Komuniti 3R “Kuale” di RPA 4.

-AH/AAS

Tinggalkan komen anda