Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

MATRADE Perkenal SPP – Kelab CEO Pertama di Malaysia

By 1 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Nur Hafif Zainurdin

ALOR GAJAH, 1 Jun (Malaysiaaktif) – Bagi membina platform rangkaian perniagaan yang lebih baik, Kelab CEO Syarikat Peringkat Pertengahan (SPP) negara telah diperkenalkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Kelab CEO ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan merupakan inisiatif pelengkap program ‘Ramp-up MATRADE’ yang telah  dianggotai seramai 101 CEO SPP setakat ini.

Program Ramp-up merupakan program lanjutan dua tahun bagi kesemua SPP yang terlibat di bawah program Pembangunan Syarikat Pertengahan (MTCDP) MATRDE.

Program ini juga dijalankan bagi mewujudkan kesinambungan dalam penglibatan SPP sejurus tamat penglibatan mereka dalam MTCDP dan untuk memantau kemajuan SPP yang terlibat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Dzulkifli Mahmod, kelab ini akan membantu menyediakan penstrukturan strategi seperti rangkaian perniagaan, perkongsian idea dan pengalaman serta kejayaannya kepada para CEO dan Eksekutif SPP.

“Kelab ini juga diharap agar mampu mewujudkan persekitaran yang  menggalakkan buat para CEO SPP bagi menjadi sumber inspirasi antara satu sama lain, dan ini boleh mereka jadikan sebagai pemangkin kepada pencapaian eksport yang lebih baik.

“Kelab ini juga akan meningkatkan kesedaran SPP mengenai kemudahan fasiliti perdagangan dan insentif yang ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi,” kata Dzulkifli ketika mempengerusikan mesyuarat pertama Kelab CEO bagi SPP di Perfect Food Manufacturing Sdn Bhd. di sini, pagi semalam.

Pada tahun 2015, jumlah eksport bagi syarikat berstatus SPP di bawah program MTCDP telah mencatatkan peningkatan sebanyak RM1.52 bilion kepada RM5.67 berbanding RM4.15 bilion pada tahun 2014.

Di Malaysia, SPP dikategorikan sebagai syarikat yang meraih pendapatan tahunan antara RM50 juta sehingga RM500 juta bagi syarikat pembuatan dan RM20 juta kepada RM500 juta bagi syarikat perkhidmatan.

Pengarah Urusan Perfect Food Manufacturing (M) Sdn. Bhd., Sai Chin Hock @ Su Chin Hock, telah dipilih sebagai pengerusi kelab yang pertama di Malaysia.

-DZ

Tinggalkan komen anda