
Oleh Noraidah Mat Seh /Foto: Nur Hafif Zainurdin
ALOR GAJAH, 16 Jun (Malaysiaaktif) – Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata kerajaan mengambil berat perihal rakyat dan sentiasa mencari jalan mengurangkan bebanan kehidupan dan kemiskinan penduduk di negeri ini dan Melaka adalah negeri pertama diisytihar negeri bebas miskin tegar.
“Sebagai seorang fakir, miskin, mualaf serta pihak-pihak lain yang memerlukan bantuan, kepimpinan kerajaan negeri sentiasa prihatin untuk terus berusaha mengurangkan beban yang ditanggung oleh pihak tuan-tuan dan puan-puan,” katanya.
Tambahnya, program bantuan sumbangan Ramadan yang dianjurkan oleh setiap parlimen oleh kerajaan negeri Melaka sempena bulan Ramadan tahun ini adalah bertujuan untuk menggembirakan para penerima yang memerlukan dan berhak menerima bantuan.
Idris berkata demikian dalam Program Sumbangan Ramadan Peringkat Parlimen Masjid Tanah telah diadakan di Dewan Japerun Lendu, Masjid Tanah semalam.
Salah seorang penerima bantuan, Napsiah Akob, 72, melahirkan rasa syukur dengan sumbangan yang diberikan pada bulan Ramadan ini.
“Walaupun jumlah yang diterima tidaklah begitu banyak tetapi sudah memadai untuk membeli barangan dapur untuk kegunaan pada bulan Ramadan ini,”katanya.
Seorang lagi Saiful bin Masrani, 37, yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan agensi yang terlibat dalam pemberian sumbangan ini kerana dapat membantu mereka yang benar-benar memerlukan terutamanya kepada yang tidak mempunyai pendapatan yang tetap.
Program sumbangan ini diusahakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, Jabatan Kebajikan serta Yapeim dan dihadiri seramai 409 orang penerima terdiri daripada golongan miskin, ibu tunggal dan OKU.