Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Nyawa Dihargai, Aidilfitri Lebih Bererti

By 30 Jun 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh: Zaharah Ismail dan Amirah Ahmad

Kuala Lumpur, 30 Jun (Malaysiaaktif) – Sejajar dengan tema kempen keselamatan jalan raya pada tahun ini iaitu ‘Nyawa Dihargai, Aidilfitri Lebih Bererti’, Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri  2016 telah diadakan di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negara,  Datuk Seri Haji Abd. Halim Haji Abd. Samad.

“Fenomena pulang ke kampung semasa musim perayaan sudah menjadi tradisi dan budaya kepada masyarakat Malaysia terutamanya semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri”, katanya.

“Hakikatnya jumlah kenderaan di jalanraya akan meningkat dengan mendadak dan jalan raya juga akan bertambah sesak. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan risiko berlakunya kemalangan,” ujar Datuk Seri Haji Abd Halim di dalam ucapan perasmiannya.

Tambah beliau, “Statistik kemalangan di Malaysia pada musim perayaan amat menggerunkan, sebagai contoh pada tahun 2015 jumlah kemalangan jalan raya telah meningkat kepada 489,606 berbanding 476,196 tahun 2014. Jumlah kematian juga menunjukkan peningkatan pada tahun 2015 dengan 6,706 kematian berbanding 6,674 pada tahun 2014. Ini menunjukkan kadar kematian jalan raya adalah lebih daripada 18 orang setiap hari”.

“Sikap pemandu atau penunggang itu sendiri merupakan penyebab utama kemalangan jalan raya. Pemandu lebih bersikap mementingkan diri malah tidak sabar ketika berada di jalan raya serta tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan”.

“Justeru, pengguna jalanraya diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang keselamatan jalanraya dan memberi kerjasama serta sokongan supaya masalah kemalangan jalanraya menemui penyudahannya”.

Program advokasi dan penguatkuasaan akan dilaksanakan pada musim Hari Raya ini seperti larangan kenderaan barangan tertentu oleh JPJ dan PDRM pada 2 dan 3 Julai dan juga pada 9 dan 10 Julai 2016. Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam akan bersedia 24 jam untuk memberi bantuan kecemasan kepada mangsa kemalangan.

Kementerian Kerja Raya juga akan mewartakan penurunan had laju iaitu bagi Jalan Persekutuan akan diturunkan dari 90km/j kepada 80km/j manakala bagi Jalan Negeri pula diturunkan dari 80km/j kepada 70km/j bermula 29 Jun sehingga 13 Julai 2016.

“Pelbagai langkah yang telah diambil bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya. Beberapa perkara perlu diambilberat oleh para pengguna jalan raya. Antaranya ialah rancang perjalanan, memandu ikut kelajuan yang ditetapkan, tidak melanggar lampu isyarat, pakai tali pinggang keselamatan dan topi keledar dan jangan sesekali menggunakan telefon bimbit semasa memandu”.

“Larangan penggunaan lorong kecemasan juga perlu dipatuhi. Namun, tanpa kerjasama semua pihak, perkara ini tidak dapat dilakukan dengan jayanya”.

Antara Jabatan dan agensi yang terlibat ialah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan kesemua kementerian, agensi swasta serta badan bukan kerajaan yang telah memberikan komitmen yang berterusan dengan menjayakan kempen keselamatan ini.

Turut diadakan sesi pelepasan (flag off) Pasukan Penguatkuasaan dan Pasukan Penyelamat oleh Senator Datuk Seri Abd. Halim. Beg cenderamata dan bahan-bahan kempen turut diedarkan kepada pengguna jalan raya.

DK

Tinggalkan komen anda