Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Pesta Babulang Serlah Keunikan Komuniti Bisaya

By 20 Jun 2016Jun 21st, 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

  Oleh: Ninie Gumbang

LIMBANG, 20 Jun (Malaysiaaktif) – Pesta Babulang Sarawak yang menampilkan acara lumba kerbau sebagai acara paling ditunggu-tunggu telah berjaya memaparkan keunikan komuniti Bisaya di Sarawak.

Pesta tahunan yang telah diadakan pada 10 hingga 11 Jun yang lalu bertempat di padang Persatuan Bisaya Sarawak (PBS) di Batu Danau, Limbang. Pesta ini diadakan pada bulan Jun setiap tahun. Pengunjung dari Sabah dan Brunei merupakan tetamu yang sentiasa datang meraikan bersama-sama pesta ini.

Acara sukan yang paling ditunggu-tunggu ialah lumba kerbau. Sukan lumba kerbau merupakan antara produk pelancongan terpenting di Sarawak.  Walaupun tidak secantik kuda, namun kerbau atau kuntul dalam bahasa tempatan merupakan haiwan ternakan yang sinonim dengan kehidupan dan budaya komuniti Bisaya di utara Sarawak.Upacara Nakod Bebulang 6

Sehubungan itu, tidaklah hairanlah apabila hampir setiap keluarga di Limbang mempunyai haiwan ternakan itu. Malah jika berkunjung ke perkampungan Bisaya seperti Batu Danau, pelawat berpeluang menyaksikan kerbau bermain dan mandi di sungai.  Bahkan, jika berani, kita boleh menunggang kerbau yang berbadan agak lebar dengan lenggangan bergoyang.

Pesta tersebut turut dimeriahkan dengan pertandingan Ratu Agak Asal, pertandingan Pakaian Agak Asal Anak-anak Bisaya, pameran kraf tangan, rumah terbuka, sukan rakyat, autoshow kereta, pertandingan memancing, pertandingan memasak  dan persembahan kebudayaan.

Pertandingan Ratu Agak Asal terbuka kepada wanita bujang berusia 17 tahun ke atas. Peserta-peserta akan memperagakan kecantikan mereka dengan mengenakan pemakaian tradisional etnik Bisaya, manakala Panglima Babulang akan menggayakan tarian mereka bagi menambat hati juri. Selain itu, pertandingan Ratu Badoro  melibatkan wanita berkahwin dan berusia 40 tahun ke atas juga turut diadakan.Rumah Terbuka Bebulang 8

Penganjuran Pesta Babulang amat sinonim dengan kaum Bisaya bertujuan menerapkan penghayatan kebudayaan dan permainan tradisional dalam kehidupan di samping menyubur semangat kerjasama dan kekitaan di kalangan masyarakat berbilang kaum di kawasan Limbang.

Pesta ini turut melibatkan penyertaan kaum-kaum lain termasuk Iban, Melayu, Kedayan dan Orang Ulu. Keunikan kebudayaan dan kepelbagaian kaum inilah menjadikan Pesta Bebulang  begitu unik dan menarik perhatian pengunjung dari luar.

SF

 

Tinggalkan komen anda