Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangorViral

PI1M Bantu Usahawan Koko Guna Instagram Luaskan Pasaran

By 15 Jun 2016Tiada komen4 minit bacaan
 Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa

SUNGAI BESAR, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Siapa sangka pembukaan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) bukan sahaja memberi kemudahan untuk mengakses jalur lebar malah telah membuka ruang kepada peniaga tempatan untuk memperluas perniagaan masing-masing secara dalam talian.

Satu-satunya usahawan koko di Sabak Bernam, Dalilawati Md. Harun, 36 berkata pembukaan PI1M di Sungai Panjang ibarat lubuk emas kepadanya untuk memasarkan produk coklat kokonya menerusi blog, Facebook dan Instagram.

 “Pada mulanya saya hanya ingin menggunakan mesin fotostat sahaja untuk membuat pelekat bagi produk coklat koko saya. Kemudiannya, pihak pengurusan PI1M bercerita tentang perniagaan secara dalam talian yang ternyata jauh lebih mudah.

“Saya mula berniaga sejak dua tahun lalu dengan hanya mengeluarkan sedikit modal dengan pendapatan sekitar RM50 sahaja. Namun sebagai orang yang tidak celik komputer, pihak pengurusan PI1M banyak mengajar saya menggunakan laman sosial seperti Facebook dan Instagram.

“Instagram paling mudah kerana saya hanya menggunakan “hashtag” untuk memasarkan produk. Saya dapat ramai pelanggan dari Johor, Langkawi dan Singapura.

 

A5A803F1-B4D2-4553-8E5D-7F87B59196E3

 

Menyentuh musim Pilihan Raya Kecil (PRK), Dalilawati tidak menafikan banyak menerima tempahan daripada orang luar yang datang mencari coklat tulen yang dibekalkan oleh Lembaga Koko.

“Kebetulan musim PRK pula sekarang, satu blok coklat 100kg dapat dihasilkan. Kini anggaran pendapatan lagi-lagi ketika Ramadan ini, pendapatan boleh mencecah sehingga lima angka.

“Oleh sebab saya sudah menjadi usahawan koko, pihak Lembaga Koko ada memberi insentif sebuah mesin pencair koko yang boleh memuatkan dalam 10kg coklat. Dahulu saya hanya menggunakan periuk, apabila ada insentif daripada mereka tugasan saya bertambah mudah.

“Lokasi PI1M yang strategik, dekat dengan rumah membuatkan saya kini sering menghabiskan masa di sini untuk tujuan meluaskan pasaran produk saya dengan hanya bayaran RM5 sepanjang hidup,” katanya yang turut menyertai kursus pembuatan coklat buatan tangan di Nilai anjuran Lembaga Koko.

Sementara itu, menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Jailani Johari, kini di Selangor terdapat 32 buah PI1M.

Tambahnya, di Parlimen Sungai Besar sahaja kita menyediakan empat buah PI1M di Kampung Sungai Leman, Pasir Panjang, Kampung Tengah Peket 100 dan Sungai Panjang yang melibatkan kos sebanyak RM7.2 juta.

“PI1M merupakan inisiatif kerajaan untuk masyarakat luar bandar mengakses Internet selain menerapkan tiga objektif iaitu pembelajaran berterusan, pembangunan industri kecil dan kegiatan sosio-ekonomi.

“Pihak KKMM juga bersetuju untuk membuka tiga lagi PI1M di Kampung Desa Permai Parit 8, Tebuk Haji Yusuf dan Kampung Sungai Haji Dorani yang melibatkan RM5.4 juta yang membolehkan masyarakat tempatan mengakses jalur lebar berkelajuan lapan megabit sesaat (Mbps) hingga 20 megabit sesaaat (Mbps). Pembinaan PI1M ini akan mengambil masa selama enam bulan hingga satu tahun.

“Masyarakat tempatan kini hanya perlu membayar RM5 seumur hidup untuk menggunakan perkhidmatan di PI1M. Tiada bayaran dikenakan bagi kanak kanak, pelajar, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas,” ujarnya yang ditemui semasa merasmikan PI1M Pasir Panjang, di sini petang tadi.

Dengan pelajar OKU

Dengan pelajar OKU

Sementara itu, bagi Pentadbir Mukim Parlimen Sungai Besar, Mohd Maharul Mohd Sukaime dengan adanya lebih banyak PI1M, lebih ramai penduduk kampung dapat mengakses Internet dengan harga murah.

“Dahulu mereka terpaksa pergi ke kafe siber dengan kos antara RM3 ke RM4 sejam. Suasana pula adalah tidak baik dengan adanya permainan video yang tidak langsung berkaitan dengan pembangunan masyarakat.

“Sekarang ada empat buah PI1M di seluruh Sungai Besar, jarak setiap pusat pula sesuai antara dua hingga tiga kampung. Setiap sesi dapat memuatkan lebih 20 orang.

Maharul juga melihat konsep pembelajaran pelajar kini telah berubah tidak lagi seperti dahulu.

“Menerusi pemantauan, kebanyakan pelajar sekolah biasanya merebut peluang untuk ke PI1M semasa cuti hujung minggu dan cuti am. Mereka bukan bermain permainan video tetapi mereka membuat kerja sekolah.

“Pelajar sekarang perlu meneroka apa-apa yang ada di sekeliling, perlu membuat kertas kerja. Jadi menerusi PI1M, kos membuat kerja lebih murah, selesa dan yang penting selamat,” ujarnya.

Bagi Guru Pendidikan Khas Integrasi di Sek Men Keb Dato Mustafar, Wan Muhamad Faisal Wan Zahidi, 31, para pelajarnya dilihat begitu teruja apabila dibawa melawat PI1M. Pihak sekolah juga ada menyediakan kursus asas Microsoft di PI1M pada Mac lepas untuk para pelajar berumur antara 13 hingga 19 tahun.

“Mereka ini suka akan grafik, bunyi dan video. Jadi pendedahan awal diberikan agar mereka tidak berasa kekok dengan komputer dan teknologi. Para penceramah yang ada di PI1M juga banyak membantu,” ujarnya yang merupakan guru masalah pembelajaran di sekolah tersebut.

 

-DK/AAS

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda