Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Ramadan ini Pak Long, Isteri Berserah Kepada Allah

By 4 Jun 2016Jun 5th, 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Khairunnisa Abd Rahman

JASIN, 4 Jun (Malaysiaaktif) – Kesempitan hidup bukan penyebab Mohamed @ Ahmad Bin Johari, 77 yang lebih mesra dipanggil Pak Long putus asa untuk meneruskan kehidupannya.

Pak Long dan isterinya, Besah Binti Mat, 73, tinggal bersama anak kedua mereka, Zalina Binti Mohamed, 47, seorang ibu tunggal yang bekerja di sebuah kilang di Tangkak ditemui Malaysiaaktif  semasa dalam Program Ziarah Kasih Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau, Datuk Roslan Haji Ahmad semalam.

Pak Long yang mengalami kemalangan jalan raya lapan tahun lalu hingga mengakibatkan kaki kirinya patah dan masih dipasang besi hingga sekarang. Disebabkan itu, Pak Long tidak mampu berdiri lama dan terlalu banyak bergerak.

“Empat tahun Pak Long terlantar dan tidak boleh berjalan. Akibatnya, tiub kencing dipasang bagi memudahkan Pak Long dan tiub itu masih dipasang hingga sekarang. Dua minggu sekali, Pak Long akan ke klinik kesihatan untuk menukar tiub dan mengambil ubat,” katanya.

Tentang persiapan mereka untuk menyambut Ramadan, Mak Long dalam nada sebak berkata “Mak Long dengan Pak Long ni serah pada Allah je. Kami tak ambil kisah dan tak harap apa pun. Apa yang orang bagi makan, Mak Long dengan Pak Long makan. Mak Long tak pandang apa pun, tak ada nak beli baju baru.”

Pak Long turut berkongsi rahsia beliau menjaga kesihatannya dan bebas daripada penyakit, seperti kencing manis, darah tinggi dan lain-lain walaupun telah mencapai usia 77 tahun.

“Kita hidup di dunia ni jangan aniaya orang dan buatlah baik sesama manusia. Kita jangan kedekut dan banyakkan bersedekah walaupun kita bukan orang yang senang.”

“Hubungan dengan Allah, kita kena jaga. Jangan tinggalkan solat lima waktu. Pak Long walaupun tak bekerja, Pak Long tak pernah tak makan sebab Pak Long tak pernah putus minta pada Allah lima kali sehari selepas solat fardhu,”ujarnya.

Pak Long juga menceritakan pengalamannya ketika bekerja dahulu, Pak Long melihat seorang budak yang kurang sempurna tanpa kedua-dua tangan dan kaki dalam lingkungan umur lima tahun dalam kereta di sebuah stesen minyak. Pak Long simpati dan mengeluarkan RM50 dari poketnya dan menyedekahkan kepada budak itu dengan ikhlas.

Walaupun rakannya menegur dan mengatakannya bodoh memberi duit sebanyak itu dalam keadaan Pak Long sendiri kesempitan hidup, Pak Long hanya menjawab “Biarkanlah, hari ni hari dia. Satu hari nanti hari aku pula.”

Pak Long dengan nada ceria menyambung ceritanya, “Kamu tahu, dalam masa dua, tiga jam malam tu Pak Long dapat pulangan duit berkali ganda daripada sedekah Pak Long kepada budak tu tadi.”

Sebelum mengakhiri ceritanya, Pak Long sempat berpesan “Walau dalam keadaan apa sekalipun, jangan sesekali potong kapal orang. Tak berkat nanti.”

Tinggalkan komen anda