Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

RM30 Juta Bangunkan Dataran Kuala Kangsar

By 4 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Aimi Huwaina / Foto: Azraf Affandi (Putrajaya)

KUALA KANGSAR, 4 Jun (Malaysiaaktif) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Maslin Sham Razman hari ini mengumumkan rancangan Kerajaan Negeri Perak untuk membangunkan Dataran Sungai Perak Indah, di sini, pagi tadi.

“Kita berhasrat untuk membangunkan kawasan lembah ini dengan kos pelaburan sebanyak RM30 juta, mungkin secara berfasa. Dan yang pentingnya, dataran sepanjang sungai ini dapat kita majukan sebagai tempat rekreasi dan juga tempat komersial,” ujar Maslin.

Katanya, rancangan ini adalah bertepatan dengan hasrat mantan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad untuk menjadikan dataran ini sebagai satu dataran yang ‘multipurpose’, dataran yang mengunjurkan kepada pelancongan ekologi.

“Yang mahu melihat pembangunan di lembah ini dibangunkan sekata, tak kiralah dari segi komersial, pelancongan, keindahan alam, serta air dan sungainya. Ini adalah satu tapak yang dihajati untuk kita laksanakan program-program induk ataupun program-program besar,” kata Maslin lagi.

Beliau ditemui ketika menghadiri Majlis Perasmian Program Semarak Minda Komuniti 1Malaysia Peringkat Daerah Kuala Kangsar anjuran Jabatan Penerangan Malaysia.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar yang akan diadakan pada 18 Jun ini, Maslin berharap para pengundi akan berfikir dengan sematang-matangnya sebelum mengundi.

“Hari ini kita lihat macam-macam maklumat, macam-macam dakyah datang, macam-macam cerita yang keluar, tetapi hanya orang Kuale (Kuala Kangsar) yang tahu apa yang berlaku di Kuale,” tegas Maslin.

Tambahnya, penduduk tempatan harus bersyukur dengan pemilihan Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon Barisan Nasional untuk PRK Kuala Kangsar ini.

“Sangat hebatlah, kerana dia datang daripada golongan profesional dan juga bukan asing dari segi politik Kuala Kangsar kerana beliau merupakan balu kepada ahli parlimen kita dan sentiasa mendekati masyarakat, baik dalam program yang besar, program kecil ataupun program personal.

“Jadi, beliau sudah arif dengan keadaan politik yang ada dalam parlimen Kuala Kangsar ini dan telah pun berkecimpung dengan orang-orang politik ini serta masyarakat sedari awal penglibatan arwah di dalam Pemuda sehinggalah di akhir hayatnya,” jelas Mazlin lagi.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda