Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeSelangorViral

Selangor Catat Kes Tertinggi Penipuan Pakej Umrah -Nazri

By 16 Jun 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Dila Khamde/ Foto Makkah: Kalsom Othman

SUNGAI BESAR, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi dalam penipuan pakej umrah iaitu sebanyak 11 kes sejak 2012 sehingga Mei 2016.

Demikian menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC), Datuk Seri Nazri Abdul Aziz pada Majlis Penutupan Kempen Kesedaran Penipuan Pakej Umrah/Ziarah dan Hak Kepenggunaan Peringkat Selangor 2016 di Batu 23 Sungai Nibong semalam.

“Sejak 2012, menerusi kendalian MOTAC, sebanyak 211 aduan telah diterima, manakala 61 kes telah dikenakan tindakan yang melibatkan syarikat tidak berlesen dan berlesen serta nilai kompaun sebanyak RM293,000 atas pelbagai kesalahan berkaitan pengendalian pakej umrah di bawah Akta Industri Pelancongan 1992,” katanya.

 

FA8FDE91-FFFD-4532-9707-A0FEF1342090

“Kes ini sangat serius, terutama apabila melibatkan golongan yang latar belakangnya kurang bernasib baik…”

 

Sehubungan itu, sejumlah 11 syarikat telah dibatalkan lesen pelancongan dan sebuah syarikat ditarik balik lesen dalam bidang Outbound kerana melakukan kesalahan berkaitan pengendalian pakej umrah.

Nazri menegaskan pentingnya untuk meningkatkan kempen kesedaran tentang penipuan pakej umrah yang kian meningkat setiap tahun.

“Kes ini sangat serius, terutama apabila melibatkan golongan yang latar belakangnya kurang bernasib baik yang ingin menjalankan umrah tetapi malangnya ada yang mengambil kesempatan untuk menipu mereka,” tambahnya.

Menurut sumber Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Kooperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), statistik kes yang telah difailkan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi 2012 hingga Mei 2016 mencatatkan sebanyak 3,418 kes dengan nilai tuntutan sebanyak RM20,863,209.

Bagi kes polis pula, dari 2014 hingga April 2016, Polis Diraja Malayisa (PDRM) merekodkan sebanyak 126 kes penipuan dengan jumlah tuntuan sebanyak RM5,904,411.

Antara kes yang terlibat ialah kegagalan agensi pelancongan mendapatkan visa umrah, tiada tiket penerbangan, pembatalan atau penangguhan pakej umrah serta pelanggaran terma dan syarat pakej umrah.

Nazri turut menasihatkan orang ramai mengambil tahu harga petunjuk yang telah ditetapkan oleh Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) iaitu RM4,900 bagi pakej ekonomi 12 hari 10 malam untuk mengelak daripada ditipu.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda