
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa
SUNGAI BESAR, 16 Jun (Malaysiaaktif) – Dengan hanya berbaki tiga hari menjelang Hari Mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), berilah yang terbaik kerana anda semua pengamal media akan menjadi entiti yang boleh disandarkan oleh masyarakat.
Demikian kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Jolaini Johari ketika Majlis Berbuka Puasa Bersama Media di sini semalam.
Tambahnya, pada era digital ini banyak ledakan dan perubahan yang berlaku saban masa, jadi, pengamal media perlu sentiasa berperanan sebagai agen penyampai maklumat yang tepat dan melaporkan dengan penuh tanggungjawab.
“Bertugas semasa PRK lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan pastinya memberi cabaran dan tekanan bukan sahaja kepada pengamal media malah kepada saya juga sebagai ahli politik. Maklumat kini semuanya di hujung jari. Sedang kita bercakap ni dah keluar dah berita. Semua boleh jadi viral,’ ujarnya.
Jailani turut berharap agar kebenaran dapat dicari dalam setiap berita yang dilaporkan oleh pengamal media.
“Semua yang bertugas berada lebih sembilan hari di Sungai Besar ini. Kita amat harapkan berita yang dipaparkan dapat mencari kebenaran kerana setiap berita yang dilaporkan oleh pengamal media zaman sekarang ini boleh mendorong pembentukan persepsi masyarakat. Jika tidak tentu kesahihannya agak sukar untuk mengubah persepsi masyarakat
“Saya yakin pengamal media, terutamanya hari ini tidak boleh menandingi zaman konvensional kerana kita tahu pengamal media yang masih kekal ini berbeza.
“Kita masih perlukan petugas yang perlu turun ke lapangan untuk membuat berita, merakam peristiwa kerana selain hanya melaporkan peristiwa yang benar-benar berlaku kita perlu melaporkan kejadian yang berlaku di lapangan dengan menampilkan laporan yang sesuai dari segi persekitaran dan juga masyarakat,” ujarnya.
Johari juga mengucapkan terima kasih atas kerjasama para pengamal media yang banyak berkorban untuk bertugas sepanjang PRK ini.
“Kepada semua petugas yang berkampung lebih dari sembilan hari di Parlimen ini, saya bagi pihak kementerian amat menghargai komitmen dan pengorbanan yang telah tuan-tuan dan puan-puan berikan.
Pada majlis yang sama, Jailani turut menyampaikan sumbangan kepada rakan-rakan media di samping berbuka puasa dan bersolat Maghrib secara berjemaah bersama media.
Terdahulu Jailani menghadiri majlis Sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) serta Majlis Perasmian Pusat Internet 1Malaysia Pasir Panjang, Sungai Besar.