
Oleh Nur Arinnica Arif / Mohd.Firdauf Alias (Jerantut)
JERANTUT, 16 Jun (Malaysiaktif) – Sederet enam buah rumah kedai di Bandar Baru Jerantut di sini hangus dalam satu kebakaran malam tadi.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 8.30 itu, seramai 40 orang anggota dari balai-balai bomba Kuala Lipis, Jengka, Temerloh dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dikerahkan untuk mengawal serta memadamkan kebakaran. Usaha membabitkan sejumlah lima buah jentera, sebuah jentera tangki dan sebuah ‘skylift’.
Penolong Penguasa Bomba Jerantut, Fariz Abd. Rahim berkata, sejurus selepas pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.46 malam, sepasukan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
“Anggota bomba tiba pada pukul 8.47 malam dan mendapati api telah merebak ke keseluruhan deretan kedai itu,” katanya ketika dihubungi Malaysiaaktif di sini.
Tambahnya, operasi berjaya dikawal pada kira-kira pukul 10.46 malam dan api dipadamkan sepenuhnya pada pukul kira-kira pukul 4.20 pagi.
Menurut beliau, jumlah kerugian dan punca kebakaran sedang dalam siasatan.