Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahEkonomiHomeSelangorViral

Sg Pakeh Aset Pelancongan Semula Jadi Belum Tercemar

By 5 Jun 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Muhammad Rizal Redzuan

SUNGAI PAKEH, 5 Jun (Malaysiaaktif) – Sungai Pakeh yang terletak di kawasan pedalaman  Sungai Panjang, Sungai Besar merupakan satu kawasan yang dianggap unik.

Selain terkenal dengan ‘Taman Kelip-Kelip’, ia juga lokasi persinggahan burung flamingo kelabu yang dikatakan jarang ditemui dan juga burung enggang yang bersarang di Selangor dan keluar awal pagi untuk mencari makan di negeri Perak.

Demikian kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (KPKM), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, ketika melancarkan Projek Menaik Taraf Taman Kelip-Kelip Sungai Panjang di bawah Projek Rancangan Malaysia ke-11 (RP-2) di sini petang semalam.

 

IMG-20160605-WA0019

 

Nazri kagum dengan keunikan Sungai Besar yang mempunyai banyak tempat berpotensi untuk dibangunkan sebagai lokasi tarikan pelancongan.

Beliau yang pertama kali menjejakkan kaki ke Sungai Pakeh berkata, tidak seperti Taman Kelip-Kelip lain di Malaysia, Taman Kelip-Kelip di sepanjang  Sungai Panjang, terutama di Sungai Pakeh masih tidak tercemar dan terpelihara.

“Sungai Fakeh yang terletak di pedalaman Sungai Panjang masih terpelihara daripada pembangunan dan perindustrian ini boleh diselusuri hingga Tanjung Malim. Sungai di sini, iaitu Sungai Bernam menjadi pemisah antara Selangor dengan Perak.”

“Pelbagai cerita dongeng turun-temurun berkaitan flamingo kelabu, burung enggang dan kelip-kelip di sini tetapi semua keunikan ini hanya diketahui oleh orang kampung ini sahaja”, ujar Nazri.

Sehubungan itu, KPKM menerusi  program Visit My Kampung akan memajukan projek pelancongan agar masyarakat kampung mendapat manfaat daripada pelbagai keunikan yang ada di kampung ini bagi menarik pelancong.

Pusat Pemerhatian Kelip-Kelip Sungai Pakeh, Sungai Panjang, merupakan salah satu projek pembangunan yang akan dilaksanakan bagi kemudahan pelancong tempatan dan antarabangsa.

Menurut Nazri, dengan tarikan sebegini, ia pastinya akan membuka ruang untuk pelancong menginap di inap desa milik orang kampung.

Tambahnya, KPKM akan memberikan latihan, insentif dan sijil kepada penduduk untuk mengambil bahagian dalam industri pelancongan.

Dalam ucapan perasmiannya, Nazri berkata menerusi Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) (2011–2015), KPK telah memperuntukkan sebanyak RM15.5 juta bagi sejumlah 34 projek di Selangor.

 

IMG-20160605-WA0025

Haji Marzuki Abd Manan.

 

Sementara itu, seorang pemimpin masyarakat, Haji Marzuki Abd Manan, 74, berkata setiap minggu ramai pelancong luar datang ke sini, terutamanya dari Jepun dan Amerika.

“Purata kehadiran pelancong ialah satu bas sehari. Kelip-kelip keluar pada waktu senja dan hilang sekitar pukul 9.00 malam. Pelancong juga gemar bermain layang-layang di sini,” kata Marzuki lagi.

Terdahulu, Nazri mengadakan Program di Ambang Ramadan bersama Penggiat Industri dan masyarakat tempatan di Pusat Aktiviti Inap Desa Batu 23 Sungai Nibong.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda