
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa
SUNGAI BESAR, 18 Jun (Malaysiaaktif) – Perayu undi bagi tiga parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, iaitu Barisan Nasional (BN), PAS dan Amanah dilihat menjalankan tugas secara aman di hadapan Pusat Pengundian SK Seri Utama.
Bagi perayu undi Amanah, Mohamad Mazlan Sobari, 36 tugas mereka untuk merayu pengundi di sini, bermakna tidak boleh ‘menggasak’ parti lain.
“Saya melihat keadaan di sini dapat cukup baik. Kami hanya fokus kepada isu negara, tiada istilah untuk menembak orang-orang tertentu,” ujarnya lagi.
Sementara itu, menurut Ketua Kempen Peraih Undi Pas, Mohd Firdaus Madzlan, 31, pihaknya juga sangat positif dengan keadaan tenang di sini, khasnya bagi menghormati bulan Ramadan.
“Ini menggambarkan politik di negara kita ke arah kematangan dan kesejahteraan. Kami lihat dalam PRK kali ini hanya BN dan Amanah yang saling bertelingkah, kami bagi pihak PAS pula berkawan dengan semua,” tambahnya.
Bagi Perayu Undi BN, Nazar Azahari, kebetulan kami perhatikan ramai orang BN yang merupakan orang tempatan.
“Ya memang nampak ada perayu Amanah dan Pas, tapi mereka rata-ratanya bukan dari sini. Jadi saya lihat BN berjaya mengawal keadaan kerana kami anak tempatan.
“Keadaan memang tenang cuma saya lihat pengundi yang keluar sehingga tengah hari ini agak sedikit,” ujarnya lagi.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi di sini sehingga 12.00 tengah hari mencecah 45%.