Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeNegeri SembilanViral

Ziarah Diraja Ke Pondok Ar-Raudah Sempena Ramadan

By 27 Jun 2016Tiada komen1 minit bacaan
 
Oleh Hamidah  Md Drus / Siti Noorezrin Mahmod (Jempol)

JEMPOL, 27 Jun (Malaysiaaktif) – Pertubuhan Kebajikan Ar-Raudah dengan kerjasama Yayasan Munarah dan Baitulmal menyampaikan sumbangan untuk seramai 60 warga emas di Pondok Ar-Raudah sempena keberangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Sabtu lepas.

Ketibaan Tuanku Muhriz untuk Majlis Ziarah Diraja ini diiringi Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta kedua-dua anakanda mereka, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-Abidin.

Menurut Mudir Pondok Ar-Raudah, Md Nasir Othman, beliau merasa terharu dengan kunjungan tersebut dan berharap agar Tunku Ali sudi menjadi penaung bagi pertubuhan Pondok Ar-Raudah.

“Pondok Ar-Raudhah masih belum siap sepenuhnya, namun bagi meraikan bulan yang mulia ini kita telah membuka pengajian dan solat sunat terawih di surau pondok ini. Setakat ini ada warga emas yang menjadi penghuni dan kami telah memulakan pengajian ringkas bersama-sama mereka” tambah beliau lagi.

Di majlis yang sama, Tuanku Muhriz turut menyampaikan kunci Rumah Warga Emas yang telah siap di bina. Rumah tersebut sudah mempunyai tiga orang penghuni, walaupun ia belum dibuka secara rasmi.

Sejurus selesai lawatan,  Tuanku Muhriz menyertai rakyat Daerah Jempol untuk berbuka puasa di Masjid Jamek Batu Kikir.

Turut hadir dalam majlis tersebut, termasuk Pegawai Daerah Jempol, Abd. Rahman Johor dan Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendent Norzaini Mohd Noh.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda