Skip to main content
Berita TempatanSabah

?Taska JKM Bebas Difteria-Azizah

By 3 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

Oleh: ?Zuraidah Ahmad & Johny G.Kimlon (Sabah)

MENUMBOK, 3 Julai (Malaysiaktif) –? Kanak-kanak yang dihantar ke Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bebas daripada ancaman penyakit difteria.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun, semua kanak-kanak itu mesti telah divaksin semasa bayi lagi di samping mempunyai rekod kesihatan masing-masing.

Beliau turut mengesahkan imunisasi lengkap bagi seseorang bayi serta kanak-kanak merupakan prasyarat yang ditetapkan kepada ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka ke taska berkenaan.

“Di kementerian ini, menjadi syarat kepada semua kanak-kanak yang dihantar ke taska mesti mendapat vaksin terlebih dahulu mengikut apa-apa yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Malah bagi setiap bayi yang dilahirkan, ibu bapa mereka akan dimaklumkan untuk mendapatkan vaksin serta imunisasi lengkap bagi bayi mereka mengikut tempoh-tempoh tertentu.

“Kita amat sedih apabila berlakunya kes-kes kematian sedemikian, ibu bapa sama ada secara cuai, terlepas pandang atau sengaja tidak mendapatkan vaksin untuk anak-anak mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas empat kes difteria yang dilaporkan di Sabah kesemuanya bukan warganegara dan tiga daripadanya telah meninggal dunia baru-baru ini.

Dalam pada itu, Azizah turut memberi amaran kepada ibu bapa serta penjaga yang cuai terhadap kebajikan termasuk imunisasi bayi mereka, akan didakwa di bawah Akta Kanak-kanak 2001.

“Sudah ada peruntukan di bawah Akta Kanak-kanak 2001, jika mana-mana orang yang bertanggungjawab seperti ibu bapa yang cuai mendapatkan rawatan untuk anak-anak di bawah jagaan mereka, maka mereka telah melakukan satu kesalahan yang boleh diambil tindakan.

“Jika kementerian mendapat laporan tentang kecuaian ibu bapa, mereka boleh didakwa dan kanak-kanak itu boleh dibawa untuk divaksin serta merta,” jelasnya ketika ditemui pada Majlis Ihya Ramadan dan Khatam Al-Quran Parlimen Beaufort di Masjid Pekan Menumbok, pada Jumaat.

Pada 29 Jun lalu, Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Christina Rundi berkata kes kematian mangsa difteria melibatkan kanak-kanak lelaki tiga tahun itu akibat tidak menerima vaksin dan merupakan kes terpencil serta tiada tanda-tanda penularan wabak.

Justeru, katanya, masyarakat perlu mengetahui bahawa penyakit difteria ialah penyakit yg boleh dicegah dengan vaksinasi atau imunisasi (vaccine preventable disease) yang diberikan sejak bayi.

“Untuk mencegah penyakit dan demi keselamatan bayi dan kanak-kanak lain, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka mendapat imunisasi lengkap,” ujarnya.

SF

Tinggalkan komen anda