Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Saya ke sini oleh sebab ‘friendship’-Pengurus Teknikal SUKMA

By 30 Julai 2016Tiada komen3 minit bacaan

Oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa

KUCHING, 30 Jul (Malaysiaaktif) – “Sejak awal 80-an, walaupun tiada imbuhan saya dan kawan-kawan berlumba-lumba untuk menyertai acara sukan sebagai pegawai teknikal. Kami keluar tidur di asrama, walau tiada makanan, tiada imbuhan, satu yang kami dapat ialah friendship (persahabatan).”

Demikian kata Pengurus Teknikal Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII, Murugesu Soosaimany, 61, yang masih kelihatan gagah bertugas menahan panas dan hujan ketika ditemui di balapan Stadium Sarawak semalam.

Tambahnya, imbuhan bukan segala-galanya. Tiada apa-apa yang dapat dibandingkan dengan minat dan persahabatan.

“Hujan, panas mahupun perangai atlet semuanya tidak menjadi isu. Dari KL kami ke Johor ke Kelantan untuk menyertai aktiviti sukan. Dengan duit sendiri, makan pun sendiri tidur sahaja di mana-mana.

Pengurus Teknikal Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII, Murugesu Soosaimany

Pengurus Teknikal Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII, Murugesu Soosaimany

“Sekarang pun saya tinggalkan keluarga untuk bertugas satu tahun sekali atau dua kali sahaja. Ketika inilah kita dapat berjumpa dengan kawan-kawan lama.

“Saya dapat mengenali ramai rakan dari negeri yang berbeza. Setiap kali ada temasya sebegini, kalau urus setia tak lantik, kami akan bergaduh dengan mereka bertanyakan sebab tidak terpilih,” ujarnya yang mula bertugas sejak Ahad lalu.

Murugesu yang datang dari Kuala Lumpur telah meninggalkan isterinya, tiga orang anak serta lima orang cucu untuk bersama dengan rakan-rakannya pada temasya kali ke-18 ini.

“Saya ke sini untuk berjumpa dengan my golden friends (rakan-rakan lama). Saya berjumpa mereka ini terlebih dahulu sebelum saya jumpa isteri saya sendiri. Sambil bertugas, dapat juga meluangkan masa dengan kawan-kawan sambil teringat peristiwa dahulu kala.

IMG_3671

“Kalau tiada minat takkanlah kami sanggup tinggalkan keluarga,” jelas Murugesu.

“Kalau tiada minat takkanlah kami sanggup tinggalkan keluarga. Takkanlah ada kawan saya, Robert yang berumur 70 tahun di gelanggang lompat galah tu sanggup bertugas di tengah panas,” tambahnya lagi.

Murugesu yang merupakan bekas pesara tentera mengatakan yang para petugas teknikal merupakan pegawai teknikal yang memperoleh kelayakan daripada Malaysia Athletics Federation (MAF).

“Saya juga ialah bekas tentera. Dulu perlu aktiviti kokurilulum, jadi saya pilih olahraga. Setiap tentera wajib melakukan aktiviti kokurikulum sebab itulah terus jadi sukarelawan.

“Sebagai pengurus teknikal, saya dan rakan-rakan perlu memastikan semua peralatan tersedia untuk pertandingan seperti peralatan atau pergerakan atlet olahraga perlu mengikut peraturan International Association of Athletics Federations (IAAF),” katanya.

Berkongsi pengalamannya sepanjang lebih 40 tahun bergelumang dalam bidang sukan negara, Murugesu mengganggap temasya Sukan Komanwel 1998 sentiasa menjadi kenangan manis buatnya.

“Paling saya ingat ialah memori Sukan Komanwel kerana ketika itu yang pergi belajar luar negara rata-rata ialah orang besar-besar. Jadi apabila hari sebenar, sayalah yang kena uruskan bahagian teknikal ketika itu.

“Ketika itu kami perlu mencari idea sendiri dan banyak berbincang dengan kawan-kawan. Walaupun kami tak pernah pergi melihat sukan antarabangsa tetapi sebagai tuan rumah, kami perlu mengikut international standard (tahap antarabangsa).

“Sukan komanwel ialah maruah kita, jadi kita tak boleh bagi orang pandang rendah. Jadi kami perlu tengok televisyen tengok cara-cara mereka bekerja. Dari situ, kita rasakan kesusahannya. Sukan tempatan lain dah biasa. Cuma sukan antarabangsa perlu dipersembahkan kepada seluruh dunia. Walaupun ada orang SUKOM, kami tetap perlu bekerja dengan mereka. Setiap hari kami bekerja dengan sampai lewat malam.

Tatkala diminta menjawab soalan berkenaan cabaran terbesarnya, Murugesu berpendapat tentera sepertinya memang gemarkan cabaran.

“Saya suka semua cabaran. Manusia termasuklah atlet memang sentiasa sukar jika kita nak puaskan hati. Cuma masalah seperti mereka yang sepatutnya berlatih sehingga 10.00 malam tetapi mereka mahu meneruskan latihan sehingga 12.00 tengah malam, kita pasti perlu memenuhi hasrat mereka.

“Atlet ini kalau kita kecewakan mereka, performance mereka akan jatuh. Jadi kita perlu sentiasa menjaga perasaan mereka. Yang lain tiada masalah,” ujarnya.

Murugesu juga berpendapat atlet yang ditemui sepanjang SUKMA kali ini cukup matang dan profesional.

“Atlet tempatan di SUKMA ini misalnya walaupun dikira masih muda, namun mereka ini dilihat cukup matang. Mereka tahu apa tahap mereka tetapi ketidakpuasan hati memang sentiasa ada. Mereka akan sentiasa cuba untuk mendapat kepastian jika berlaku apa-apa maslaah tertentu tetapi setelah diperjelaskan mereka semua faham dan profesional,” ujarnya lagi yang telah tamat bertugas setelah acara balapan melabuhkan tirainya semalam.

 

 

 

 

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda