JOHOR BARU: Empat orang yang dipercayai warga Indonesia lemas dalam kejadian bot karam di Pantai Batu Layar, Kota Tinggi pada Sabtu malam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Azlan Mohd Sobri berkata, mereka terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki.
Beliau berkata, seramai 33 orang yang lain, lapan wanita dan 25 lelaki terselamat.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 11 malam, katanya dan menambah operasi mencari dan menyelamat telah dilakukan.
Sementara itu Pengarah Maritim Daerah Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud berkata, bot berkenaan dipercayai cuba masuk ke Malaysia.