Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerakViral

Harga Ayam Mahal, Pengguna Mengeluh

By 18 Julai 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh: Mohd Fadzil Azma Mat Saad / Foto: Mohd Alihanafiah Mohd Khairy (Teluk Intan)

TELUK INTAN, 13 Jul (Malaysiaaktif) – Harga ayam yang meningkat mendadak sejak kebelakangan ini memberi kesan kepada orang ramai termasuklah penduduk di bandar yang dulunya dikenali sebagai Teluk Anson ini.

Seorang pengguna yang ditemui, Rahman Arshad, 37, mengeluh apabila harga ayam yang dijual di Pasar Besar Teluk Intan meningkat dengan mendadak. Kini, harga ayam yang siap diproses akan dijual dengan harga mencecah RM11 sekilogram berbanding harga kawalan RM7.90 sekilogram.

Kenaikan harga ayam secara mendadak mulai Sabtu yang lalu berikutan permintaan yang tinggi di kalangan pengguna sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang masih meriah dijalankan.

Tinjauan Malaysiaaktif di sekitar bandar Teluk Intan ini mendapati restoran turut terjejas dengan kenaikan harga tersebut.

Seorang peniaga kedai makan di sini, Lian Hoe, 31 berkata kenaikan harga ayam menjejaskan perniagaannya apabila dia terpaksa menyerap kerugian kerana masih menjual makanan pada harga yang lama. Lian Hoe tidak mahu pelanggannya terbeban dengan kenaikan harga tersebut.

Seorang peniaga ayam yang ditemui, Ahmad Habib, 46, menjelaskan peniaga tiada pilihan lain selain menaikkan harga memandangkan harga ayam yang dibekalkan oleh pemborong adalah sekitar RM7 sehingga RM8 sekilogram.

Tambahnya, pembekal ayam turut memberitahu peniaga terdapat permintaan yang melebihi pengeluaran disebabkan oleh sambutan Hari Raya Aidilfitri dan juga masalah ayam diserang penyakit di ladang ternakan ayam.

“Seharusnya, KPDNKK lebih kerap turun padang membuat pemantauan bekalan ayam di ladang ternakan ayam memandangkan pasaran dikawal oleh pembekal dan penternak ayam.

“Janganlah menyalahkan peniaga semata-mata tanpa membuat usul periksa. Peniaga terpaksa menaikkan harga ayam apabila menerima bekalan ayam pada harga yang mahal demi mengelakkan kerugian,” tegas Ahmad.

Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata jalan penyelesaian yang lebih menyeluruh diperlukan supaya pembekal dan pemborong lebih beretika dalam perniagaan.

“Memang terdapat pelbagai inisiatif yang dijalankan kerajaan bagi mengawal harga ayam, termasuk penubuhan MyFarm Outlet dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, misalnya membuka peluang bagi pembeli membeli terus hasil pertanian, namun kenaikan harga tetap berlaku.

“Jadi kami akan bincangkan kaedah baharu ini di peringkat kementerian terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika ditemui semalam di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pulau Meranti, Puchong berkata, ketidakstabilan harga ayam di pasaran merupakan perkara biasa dan kementeriannya berjanji masalah tersebut tidak akan berlarutan.

“Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar sedang menjalankan pemeriksaan di ladang ternakan terpilih untuk mengesahkan sama ada wabak bronkitis berjangkit merupakan penyebab harga ayam meningkat seperti yang didakwa oleh penternak.

“Pegawai saya akan sentiasa memantau bekalan ayam agar tidak terganggu dan sekiranya berlaku kekurangan bekalan, kita akan cuba hadkan. Namun, saya tegaskan buat masa ini tiada krisis bekalan ayam dialami. Kementerian tidak akan menutup mata dan membiarkan masalah ini terus berlaku. Kita sentiasa peka bagi memastikan keselaman pengguna terjamin,” tegas Tajuddin.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda