Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Ikan Terubok Masin, Kek Lapis Buah Tangan Wajib SUKMA

By 31 Julai 2016Tiada komen3 minit bacaan

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa

KUCHING, 30 Jul (Malaysiaaktif) –Ikan terubok masin dan kek lapis Sarawak menjadi buah tangan wajib atlet dan para petugas Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII Sarawak yang bakal melabuhkan tirainya esok.

SUKMA yang berlangsung sejak 19 Julai dihadiri lebih 5794 atlet dan pegawai bertugas yang terlibat dalam 24 acara yang dipertandingkan.

Ikan terubok masin menjadi pilihan Subari Arifin dari Melaka.

Ikan terubok masin menjadi pilihan Subari Arifin dari Melaka.

Bagi Ketua Pengadil Sukan Menembak, Subari Arifin, 65 dari Melaka, yang ditemui di Jalan Brooke, di sini semalam, ikan terubok masin menjadi pilihannya untuk diberi kepada keluarga, jiran dan kawan-kawan sebagai buah tangan.

“Sejak tahun 80-an kek lapis memang dah ada. Pilihan saya ialah ikan terubok masin. Ikan masin terubok memang ada di Sabah, di Semenanjung mahupun di sini. Cuma cara penyediaannya yang berbeza.

“Di Sarawak, ikan masin disediakan secara basah, di Semenanjung pula secara kering sementara di Sabah, ikannya tak dibelah langsung tetapi disumbat dengan garam.

“Bagi saya harga yang dijual amat berpatutan. Harga biasanya bergantung kepada kawasan tangkapan,” katanya yang merupakan salah seorang pengadil menembak peringkat dunia yang ada di Malaysia.

Peminat tegar kek lapis, Ahmad Farhi Abdul Latiff

Peminat tegar kek lapis, Ahmad Farhi Abdul Latiff

Sementara itu, bagi peminat tegar kek lapis, Ahmad Farhi Abdul Latiff, 34 dari Selangor dia tertarik dengan kepelbagaian rasa dan warna kek lapis yang terdapat di Sarawak.

“Saya beli kerana katanya kek lapis cukup popular. Dari seberang saya naik bot tambang. Saya dapat lihat pelbagai rupa dan warna kek lapis menjadi pilihan.

Kek lapis pelbagai warna dan rasa

Kek lapis pelbagai warna dan rasa

“Pilihan saya ialah kek yang campur buah dan kek masam manis. Harga bolehlah kira murah, hanya RM10 sahaja.

Ahmad Farhi yang merupakan pegawai teknikal yang bertugas sebagai juri pesaka silat Malaysia turut berpendapat terdapat pelbagai makanan tradisional Sarawak yang sememangnya unik dan enak.

Kuih tradisional Sarawak, selorot

Kuih tradisional Sarawak, selorot

“Alhamdulillah makan sedap. Pada saya laksa Sarawak sedap, ada juga kuih salut kelapa, selorot, cuma mi kolok yang tak sempat nak rasa,” katanya yang telah selesai menjalankan tugas kerana gelanggang silat telah menutup tirainya semalam.

Bagi seorang lagi pegawai teknikal menembak, Ramli Yakub, 65 dari Klang Selangor, anaknya yang memang penggemar kek lapis telah siap memberinya senarai kek lapis yang perlu dibelinya.

Ramli Yakub menunjukkan senarai kek lapis yang dipesan oleh anaknya.

Ramli Yakub menunjukkan senarai kek lapis yang dipesan oleh anaknya.

“Ni cetakan yang anak saya beri. Anak saya siap bagi senarai kek lapis yang dia nak. Gambar ni anak saya bagi. Dia nak kek lapis Apollo, Spider, Cheese dan Cheese Coklat. Lepas ni saya nak cari ikan masin pula,” ujar pesara polis yang pernah bekerja di Sibu Sarawak suatu masa dahulu.

Selain itu, bagi wakil Kontinjen Selangor, Zulkifli Daim, 42, yang ditemui di salah sebuah hotel di bandar Kuching, dia memilih untuk membawa pulang koleksi manik Sarawak untuk kedua-dua anak perempuannya.

“Anak saya yang berusia lima tahun dan sembilan tahun suka kumpul rantai dan gelang. Hari tu dia beli dah. Tapi mereka nak lagi.

“Terus-terang manik di Sarawak ni tiada di tempat lain. Yang ini kalau pergi di Sarawak sahaja kita kan jumpa. Ini antara keunikan yang saya nampak di sini.

“Dari segi harga pula sangat murah kerana biasanya jika dibandingkan dengan apa-apa yang dijual di hotel mahal tetapi kat sini cukup murah. Saya beli macam-macam,” ujarnya yang akan berada di sini sehingga 1 Ogos depan.

Manik Sarawak

Manik Sarawak

Bagi Melati Mili, yang lebih 10 tahun menjalankan perniagaan manik, keistimewaan manik ini kerana menggambarkan budaya tradisional yang ada di Sarawak.

“Manik ini lebih kepada tradisional misalnya manik digunakan untuk membuat tali pinggang suku kaum orang ulu, kita buat banyak yang tradisional untuk tarian.

‘Selain tali pinggang, manik-manik ini juga dibuat rantai gelang, headgear, dan aksesori tambhan wanita serta kanak-kanak. Di sini, ramai petugas SUKMA dari Semenanjung yang membeli untuk anak-anak dan kawan-kawan sebagai buah tangan,” ujarnya yang merupakan bekas penari kebudayaan Sarawak lebih 20 tahun.

 

 

 

 

 

 

 

 

Tinggalkan komen anda