
Oleh Fauzrina Hj Bulka
MELAKA, 27 Jul (Malaysiaaktif) – Lawatan isteri-isteri delegasi Gabungan Polis-Polis Rantau Asia Tenggara (ASEANAPOL) ke InnoCraft Melaka pagi tadi diharap dapat memperkenalkan produk kraf tempatan seterusnya menaikkan industri pelancongan Melaka.
Menurut Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Diraja Malaysia (PERKEP), Puan Seri Datuk Imran Ibrahim lagi, program yang diatur ini memberi peluang kepada mereka untuk berkenalan dan secara langsung membantu memperkenalkan identiti dan keunikan negara kepada delegasi luar.
“Kita mengharapkan agar mereka dapat mengenali budaya dan kraftangan yang kita ada dan akan kembali semula selepas ini sebagai pelancong sekaligus menaikkan industri pelancongan kita,” ujarnya.
Tambahnya, beliau berusaha untuk menjadi tuan rumah yang terbaik kerana tahun ini merupakan giliran Malaysia sebagai lokasi Persidangan ASEANAPOL kali ke-36 dan Melaka juga satu-satunya negeri yang dipilih sebagai tempat yang sesuai untuk beriadah dan melancong.
Sementara itu, wakil delegasi Indonesia, Susriyana Sardjono berkata beliau gembira dapat berkunjung lagi ke Malaysia, terutama Melaka kerana selain mempunyai budaya dan bahasa yang agak sama, produk barangan juga tidak jauh beza.
“Saya sukakan sesuatu yang unik dan saya sudah jumpa disini, produk yang dijual kelihatan berkualiti dan saya tidak akan melepaskan peluang untuk jadikannya sebagai koleksi, harganya juga berpatutan,” katanya kepada Malaysiaaktif.
Sementara itu, wakil delegasi China yang berasal daripada New Zealand, Nicola Mccardle berkata ini merupakan pengalaman pertama kali beliau ke Melaka dan turut berasa seronok menyertai rombongan ini.
“Saya seronok diberi peluang mewarnakan lukisan batik Malaysia, yang mungkin pengalaman yang saya tidak akan peroleh di tempat lain, dan pelbagai barangan yang boleh dibeli dan sesuai dijadikan cenderahati untuk teman-teman saya,” ujar Nicola.
Dalam masa yang sama, Persidangan ASEANAPOL berlangsung di Putrajaya bermula 24 hingga 29 Julai 2016. Ianya dianggotai oleh ketua-ketua polis dari negara Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Brunei, Vietnam, Laos, Myanmar dan Cambodia.
Persidangan yang bertemakan “A Greater Nexus For A Safer Community” pada kali ini membincangkan pelbagai agenda membabitkan isu keselamatan serantau, termasuk isu penyeludupan dadah dan manusia, ancaman pengganas, keselamatan hidupan liar dan jenayah komersil.