Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Pesta Durian Melaka Tarik Pelancong Dalam dan Luar Negara

By 22 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 

Oleh: M Zakry Chan (Melaka)

MELAKA, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Melaka bakal menganjurkan Pesta Durian kali kedua pada 29 hingga 31 Julai ini bertempat di Melaka Tropical Fruit Farm Sungai Udang.

Penganjuran kali ini bakal memberi impak besar kepada sektor pelancongan negeri Melaka selaras dengan hasrat ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dalam menyasarkan kira-kira 16.5 juta pelancong pada tahun ini.

Pesta yang dahulunya hanya memfokuskan raja buah kini akan dimeriahkan lagi dengan pelbagai jenis buah-buahan tempatan yang semestinya akan menarik lebih ramai pelancong daripada dalam dan luar negara.

Bertemakan ‘Makan Durian Sampai Puas’, sudah pasti penggemar-penggemar durian teruja untuk merasai pelbagai durian yang bermutu antaranya Musang King, D24, 101 dan banyak lagi variasi klon yang bakal disajikan kepada pengunjung.

Pelanggan perlu membeli untuk menikmati durian di pesta terebut yang kini telah mula dijual dan boleh dibeli secara terus dari Melaka Tropical Fruit Farm.

Bagi penggemar durian, selain dapat merasai keenakan buah durian dan buah-buahan tempatan yang lain, mereka juga berpeluang mencuba pelbagai produk berasaskan durian antaranya aiskrim durian, ABC durian, putu bambu durian, dodol durian, durian blended, durian crepe, roti jala kuah durian, sambal tempoyak pucuk paku dan pelbagai lagi jenis produk berasaskan durian yang akan ditonjolkan.

Selain makan sampai puas, para pengunjung juga dapat menyertai pelbagai aktiviti antaranya pertandingan teka berat raja buah, pertandingan makan buah durian, pertandingan ‘selfie/welfie’, pertandingan kopek durian, pertandingan mewarna serta sukaneka sukan rakyat.

Menurut seorang pengusaha durian tempatan, Karim Ali, 30, pendekatan yang diambil dalam mempromosikan buah-buahan tempatan ini amat tepat kerana buah-buahan dari Malaysia sebenarnya lebih sedap dan berkualiti dari negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

“Di samping itu, bantuan daripada jabatan dan agensi kerajaan terutamanya Jabatan Pertanian, FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dan agensi kewangan perlu diteruskan dan dipermudahkan terutama kepada usahawan-usahawan produk hiliran,” ujar Karim ketika Malaysiaaktif ke dusun durian beliau, pagi tadi.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda