Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

SUKMA Bukan Destinasi Terakhir Atlet Tempatan – KJ

By 24 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan
Oleh Diyana Zamri / Foto: Nazri Rapaai (Putrajaya)

KUCHING, 24 Jul (Malaysiaaktif) – Sukan Malaysia (SUKMA) bukanlah destinasi terakhir para atlet tempatan tetapi juga merupakan permulaan untuk mereka melangkah lebih jauh.

Demikian kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada Majlis Perasmian Sukan Malaysia XVIII Sarawak 2016 di Stadium Sarawak, Petra Jaya, Kuching, semalam.

“Penganjuran SUKMA ini tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk menyediakan satu platform untuk para atlet muda mempamerkan bakat dan kebolehan mereka. Atlet-atlet yang telah menyertai perbarisan, SUKMA bukanlah destinasi terakhir. Ini semua merupakan permulaan.

“Di sinilah para atlet akan merasai kemenangan yang pertama dan persaingan kebangsaan yang pertama. Apa yang kita mahu lihat ialah atlet muda, atlet pelapis dari semua negeri akan mengambil bahagian dalam SUKMA dan seterusnya mewakili Malaysia dalam peringkat antarabangsa satu hari nanti,” ujar Khairy.

image

Foto: Nazri Rapaai (Putrajaya)

Menurutnya lagi, sejarah SUKMA sarat dengan nama-nama yang hebat yang lahir daripada SUKMA antaranya seperti pemain badminton harapan negara, Datuk Lee Chong Wei, bekas pemain skuasy wanita nombor satu dunia, Datuk Nicol David, dan pelumba basikal trek negara, Azizulhusni Awang.

“Atlet peringkat kebangsaan semua dilahirkan melalui SUKMA. Dari Sarawak sendiri mempunyai atlet seperti Pandalela Rinong (Penerjun Negara), Watson Nyambek (Pelari pecut 100meter), Azlan Iskandar (Skuasy) dan ramai lagi legenda Sarawak lahir di SUKMA sebelum menyarung jersi kebangsaan.

“Jadi saya harap, kita menggunakan temasya ini sebagai satu platform dalam melahirkan bintang-bintang baharu yang boleh mengharumkan nama negara kita. Seperti mana yang saya sebutkan tadi, ini hanyalah permulaan. Kita mahu Malaysia menjadi sebuah negara sukan.

“Dari sini, kita pergi ke Sukan SEA, seterusnya Sukan Asia, Sukan Komanwel. Dan selepas tamatnya SUKMA, kita akan melihat kontinjen negara kita ke Brazil, di Rio De Janeiro bersaing untuk memungut pingat emas pertama Malaysia,” jelas Khairy.

Dalam pada itu, Khairy turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada negeri Sarawak yang menjadi tuan rumah yang komited.

“Negeri Sarawak sekali lagi telah tampil ke hadapan untuk mempamerkan segala yang terbaik yang ada di Malaysia seperti perpaduan dalam kepelbagaian, persamaan rakyat, semangat kesukanan yang tinggi dan juga semangat perpaduan negeri yang tiada tandingan. Tahniah dan syabas kepada negeri Sarawak,” ujarnya.

Seramai 5,794 peserta daripada 15 kontinjen termasuk Brunei Darussalam selaku kontinjen jemputan berentap dalam 24 sukan yang dipertandingkan dalam temasya ini.

Turut hadir, Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan isteri, Puan Sri Jamilah Anu.

 

-SF

Tinggalkan komen anda