Skip to main content
Berita TempatanSabah

Ubah Sikap Jayakan Sembulan Sifar Sampah

By 27 Julai 2016Tiada komen3 minit bacaan

Oleh: Yahya Abdul Rajak & Zaidi Jamin (Sabah)

KOTA KINABALU, 27 Jul (Malaysiaktif) –? Kebersihan? Perbincangan tentangnya pasti menjurus kepada pelbagai persoalan, adakah kerana sikap malas, ambil mudah, mengharapkan orang bersihkannya atau perkara kurang penting untuk dibincangkan berbanding soal pengurusan kewangan, perniagaan, kejayaan dan sebagainya?

Didikan terhadap kepentingan menjaga kebersihan sering ditekankan sejak sekolah rendah lagi hingga ke pusat pengajian tinggi kita masih diingatkan terhadap kepentingan kebersihan.

Kebersihan merupakan suatu keadaan yang bebas daripada kekotoran sama ada berbentuk debu, sampah dan bau ini suatu yang sukar diamalkan tanpa ada sikap dan kesedaran tinggi dalam diri kita.

Atas tanggungjawab tidak mudah berputus asa ini, Kumpulan Kerja Alam Sekitar Kota Kinabalu yang diketuai Mahkamah Negeri Sabah komited beri kesedaran kepada masyarakat melalui program gotong- royong ‘Sembulan Sifar Sampah’ pada Sabtu lalu.

Menurut Pembantu Menteri kepada ketua menteri, Datuk Ir.Edward Yong Qui Fah program ini mampu memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kebersihan selain dapat menghindarkan daripada sebarang wabak penyakit, malah memberi kesan positif meningkatkan imej sembulan sebagai lokasi kunjungan pelancongan.20160723_084132_resized

“Penglibatan seramai 46 agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan NGO ini menunjukkan masyarakat amat mengambil berat tentang kebersihan alam sekitar, malah menjaga alam sekitar agar tidak dicemari sampah adalah  tanggungjawab bersama”, ujarnya lagi.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum turut menyatakan program ini sebagai menyedarkan orang awam untuk jaga kebersihan.

Tambahnya, pihak pendakwaan kami dan juga Dewan Bandar Raya Kota Kinabalu telah bersedia untuk melaksanakan penguatkuasaan Undang-undang Kecil anti Sampah Sarap, Bandar Raya Kota Kinabalu 2005.

“Jika sesiapa didapati sama ada penduduk kampung mahupun orang awam yang mencemarkan alam sekitar dengan membuang sampah akan didakwa di mahkamah, selain perlu membayar denda pesalah turut diperintah melakukan kerja khidmat masyarakat dengan membersihkan kawasan tersebut,” katanya semasa pelaksanaan program berkenaan di Sembulan Tengah.20160723_084506_resized

Seramai 600 orang daripada kalangan pemimpin dan pegawai kerajaan negeri, NGO, pihak penguatkuasaan dan keselamatan, persatuan pelajar serta penduduk setempat menyertai gotong-royong tersebut.

Sebanyak lima kumpulan dibentuk bagi membersihkan kawasan tersebut bermula seawal 7.00 pagi hingga tengah hari dan berjaya mengumpul sebanyak 67 tan sampah.

Peserta, Jemain Alan berkata program tersebut banyak memberi pengajaran betapa pentingnya menjaga kebersihan kerana apabila membersihkan kawasan terbabit saya terpaksa menahan pencemaran bau yang terhasil daripada kotoran tersebut.

Jemian yang bertugas di Hospital Queen Elizabeth yakin ketegasan Dewan Bandar Raya mampu mendisplinkan penduduk setempat untuk generasi akan datang.

Penguatkuasaan bermula Isnin lalu (25 Julai), memperlihatkan seramai lima pemilik rumah didakwa atas kesalahan membuang sampah di kawasan kediaman masing-masing.

Mereka ialah Nurazi Ahmad, 66, Norain Lamilah, 53, Norsidah Garingan, 57, Salma, 29 dan Mohd Diah Omar, 61.

Mereka didakwa atas kesalahan meletak atau membuang atau melonggokkan sampah di kawasan DBKK pada tarikh tersebut yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 dan bagi kesalahan lanjutan akan dikenakan denda RM500 setiap kali kesalahan tersebut dilakukan.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad memutuskan semua kes ditangguhkan pada 1 Ogos bagi memberi peluang kepada pemilik rumah membersihkan kawasan masing-masing.

SF

Tinggalkan komen anda