Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

[VIDEO] Sarawak Gapai Emas Pertama Beregu Skuasy

By 26 Julai 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa Foto: Maszuandi (Putrajaya)

KUCHING, 26 Jul (Malaysiaktif) – Laungan ‘Go Sarawak Go’ dan ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ oleh pasukan sorak Sarawak yang tiba-tiba kedengaran telah menggamatkan suasana pertandingan akhir Skuasy Beregu lelaki di Sarawak Squash Centre Petra Jaya, di sini semalam.

Mendengarkan sorakan padu pasukan sorak Sarawak itu, kontinjen Sarawak yang diwakili oleh atlet skuasy negara, Marcus Sim dan Jess Tay telah berjaya menggenggam emas setelah menundukkan beregu Wilayah Persekutuan Andrew Lee dan Shyan Kwan dengan 11-6, 11-8.

Menurut Marcus, sejujurnya mereka teruja untuk beraksi di gelanggang sendiri selain mencatatkan sejarah kerana acara beregu ini merupakan kali pertama dipertandingkan dalam sejarah SUKMA.

 

“Ditambah dengan sorakan padu penyorak yang hadir, benar-benar memberikan semangat kepada kami berdua untuk bermain dengan cemerlang,” ujar Jess Tay pula yang ditemui sejurus pertandingan berakhir.

Sementara itu, Pegawai Majlis Sukan Sarawak, Aeroflynn Elvis berkata kumpulan sorak Sarawak pada SUKMA XVIII ini diambil daripada dua buah sekolah di sekitar Kuching iaitu 80 orang pelajar SMK Tun Abang Haji Openg yang diiringi oleh lapan orang guru. 20 lagi anggota diambil daripada SMK Penrissen yang bersorak di lokasi sukan yang berlangsung di Samarahan.

 

Aeroflynn Elvis

 

“Kami mengambil masa selama seminggu untuk memahirkan anggota sorak dengan sorakan dan gerakan yang telah dirancang. Kerjasama yang diberikan oleh guru-guru dan ibu bapa amat membantu dalam melancarkan persiapan kami.

Tambahnya, kelebihan kami kerana sebagai tuan rumah, semangat kami lebih. Jadi suara akan lebih lantang di samping gerakan yang menarik. Jika atlet yang mendengar sorakan pasti akan terus bersemangat untuk menang.

Selain itu, kemudahan tempat tinggal dan juga pengangkutan juga bukan suatu masalah. Pelajar-pelajar tingkatan dua hingga lima yang dipilih ini dilihat cukup komited khasnya dalam keluar sama-sama untuk menyokong kontinjen Sarawak.

“Antara sorakan yang berbeza yang kami guna ialah, tatkala atlet mula dilihat hilang semangat kami akan mula menyorak, “Sigit sik cukup, dua sik cukup, tiga sik cukup, encang encang sik cukup” bermaksud satu tak cukup, dua tak cukup, tiga tak cukup seterusnya kita mahu momentum pemain terus meningkat.

“Cabaran terbesar saya apabila nak samakan pergerakan pasukan sorak dengan bunyi. Memang agak sukar pada mulanya, namun apabila kerap berlatih. Semuanya menjadi lebih semakin baik,” jelasnya.

 

Bagi ketua pasukan sorak, Ahmad Rusydi Zulhilmi, 16 yang merupakan pelajar SMK Tun Abang Haji Openg, penyertaan kali pertamanya dalam pasukan sorak ini merupakan pengalaman pertama yang sungguh bermakna buat dirinya.

“Tugas saya adalah untuk menjadi ketua yang memberi arahan kepada pasukan sorak. Saya perlu memilih sorakan yang sesuai dengan keadaan atlet. Kami bersorak untuk membakar semangat kontinjen Sarawak untuk menggapai emas.

“Setakat ini kami telah pergi ke lapan lokasi acara sukan seperti hoki, squasy dan taekwondo. Pergerakan kami bergantung kepada jurulatih yang mahu kami berada di lokasi yang mempunyai peluang untuk menang. Apabila melihat atlet Sarawak memenangi emas, terus hilang semua kepenatan yang ada.

“Sesi latihan kami mengambil masa dua jam sehari selama satu minggu. Dalam kumpulan yang ramai ini, saya tidak merasakan kesusahan kerana rakan-rakan memberi komitmen yang tinggi. Hubungan antara kami juga semakin rapat,” ujarnya.

Rusydi juga tidak menafikan terpaksa berkorban masa untuk tidak ke sekolah sepanjang SUKMA ini.

“Ibu bapa dan guru memberi sepenuhnya kerjasama berkenaan aktiviti kami ini. Isu mengabaikan pelajaran tidak timbul kerana SUKMA bukannya berlangsung pada setiap hari. Sarawak sendiri menjadi tuan rumah setelah 26 tahun, jadi peluang ini takkan kami sia-siakan,” tambahnya.

Pertandingan Skuasy bagi SUKMA XVIII Sarawak 2016 ini telah berlangsung bermula kelmarin sehingga 28 Julai ini.

 

Tinggalkan komen anda