Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Beregu Skuasy Pertama SUKMA Milik Kedah, Sarawak

By 26 Julai 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Diyana Zamri / Foto: Maszuandi (Putrajaya)

KUCHING, 26 Jul (Malaysiaaktif) – Pasukan beregu lelaki Sarawak dan beregu wanita Kedah mencipta sejarah sebagai pasukan pertama memenangi pingat emas bagi acara beregu skuasy yang pertama kali diperkenalkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) kali ini, di sini.

“Ini merupakan acara beregu skuasy pertama dalam SUKMA. Kami merupakan yang pertama untuk memenangi beregu wanita. Kami berbangga kerana berjaya mencipta sejarah.”

Beregu Kedah, Nazihah Hanis Abd Razak dan Aika Azman, masing-masing 19, berkata demikian selepas memenangi perlawanan menentang pasukan Terengganu dengan 11-6, 10-11, dan 11-7.

 

Menurut Nazihah dan Aika, mereka berasa amat gembira dengan kemenangan tersebut dan mengakui bukan mudah untuk mengalahkan pasukan Terengganu ketika perlawanan akhir, semalam.

“Kami berasa amat lega kerana Terengganu merupakan pasukan ‘underdog’ yang berjaya mengalahkan pemain negeri lain yang mempunyai ranking yang lebih tinggi. Kami tidak menjangkakan akan bertemu dengan Terengganu pada perlawanan akhir.

“Sebenarnya, kami agak gementar pada awal perlawanan. Kami sepatutnya memenangi perlawanan dengan 2-0 tetapi perlawanan telah dibawa kepada set ketiga. Perlawanan tersebut sememangnya amat sengit namun kami cuba kekal fokus dan berkomunikasi dengan baik.

Bagi Nazihah dan Aika yang merupakan pemain kebangsaan, mereka sudah biasa dengan latihan yang dijalankan. Untuk Aika pula, dia yang bakal berentap di kejohanan dunia bulan hadapan telah memulakan latihan sejak sebulan yang lalu.

“Terengganu main dengan bagus pada hari ini. Mereka pun memang merupakan pasukan yang kuat. Ditambah dengan kehadiran penyokong mereka yang menaikkan lagi semangat mereka nak menang,” ujar Aika.

 

“Sebenarnya, kami sudah biasa dengan pemain Terengganu (Nurina Mohd Najib) kecuali Syarifah Nur Aisyah Mohd Asrin yang merupakan pemain baharu dalam SUKMA kali ini. Kami perlu membuat tekaan corak permainannya kerana dia juga merupakan atlet junior dan dia nampaknya tiada tekanan ketika berdepan dengan kami. Kami yang merasa sedikit tertekan,” ujar Nazihah secara berseloroh.

Memulakan karier dalam sukan skuasy sejak kecil, Aika berkata mereka mula menceburi sukan ini ketika berumur sembilan tahun ketika pelaksanaan program ‘1Murid, 1 Sukan’. Merupakan rakan sekolah, mereka berdua sama-sama menyertai pemilihan skuasy dan berjaya terpilih dalam pasukan tersebut.

Berkenaan inspirasi mereka untuk menceburi skuasy, Nazihah berkata dia sangat kagum melihat Datuk Nicol David, salah seorang atlet tempatan berjaya menjadi nombor satu dunia dan kalau Nicol mampu lakukannya, mereka pun boleh.

“Nicol memerlukan lebih banyak pelapis dan kami kini sedang cuba untuk menjadi pasukan pelapis tersebut. Kami sedang cuba untuk menjadi pemain bertaraf dunia dan insya-Allah, pemain nombor satu dunia yang seterusnya,” ujar Nazihah.

SUKMA XVIII 2016 merupakan penyertaan kali ketiga Nazihah dan Aika.

 

Sementara itu, bagi juara pasukan beregu lelaki, pasukan Sarawak yang terdiri daripada Jess Tay, 21 dan Marcus Sim, 18, kemenangan 11-6, 11-8 ke atas pasukan beregu lelaki Wilayah Persekutuan (WP), Andrew Lee dan Shyan Kwan amat bermakna.

“Kemenangan ini amat menakjubkan kerana berjaya mengalahkan pasukan utama seperti WP. Sokongan padu daripada penyokong Sarawak yang hadir menaikkan lagi semangat serta tenaga mereka untuk memberi yang terbaik di perlawanan akhir itu,” jelas Jess lagi.

 

-SF

Tinggalkan komen anda