Skip to main content
Berita TempatanEkonomiHomeSabahViral

Warni-Warni Pasar Tanjung Menarik Pengunjung

By 13 Julai 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka (Melaka)

TAWAU, 13 Jul (Malaysiaaktif) – Kunjungan ke bandar Tawau tidak lengkap jika tidak singgah ke pasar tertutup terbesar di Malaysia, iaitu Pasar Tanjung.

Kepelbagaian pengunjung tempatan dan luar negara di sini mencorakkan identiti unik yang mewarnakan keistimewaannya.

Pasar Tanjung setinggi tiga tingkat yang dibina di atas kawasan berkeluasan hampir dua hektar ini dianggap pasar tertutup terbesar di Malaysia dan kini merupakan antara destinasi makanan laut terkenal di Tawau.

 

9249f469-f437-409d-83bc-9dafac7a4dfc

…banyak produk dari Indonesia.

 

Dengan lebih 1,000 gerai menjual pelbagai barangan, pasar ini menawarkan pengalaman membeli-belah yang berbeza daripada tempat lain, apatah lagi apabila ditambah kemudahan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang sedang dalam pembinaan di aras tiga pasar tersebut.

Memandangkan lokasi bandar Tawau yang terletak betul-betu bersebelahan Kalimantan, tidak hairan melihat ramai peniaga di sini berketurunan Indonesia yang membawa bersama mereka budaya pasaran dan jual beli dari negara asal.

 

8255bd5f-cece-41e1-a53a-efd36624fab7

 

Seorang pemilik gerai di sini, Jokka Pallura, 73, berkata ramai pengunjung dari luar negara dibawa oleh pemandu pelancongan  untuk membeli belah di sini, antaranya dari China, Korea dan Singapura.

“Kebiasaannya mereka akan membeli periuk tingkat dan acuan kuih buatan Indonesia kerana selain harganya murah, buatannya berkualiti dan tahan lama berbanding buatan tempatan yang tidak tahan panas,” ujar Jokka.

bff46bf7-bf40-4f43-b51d-36850167ce6c

Tambahnya, dia juga turut menawarkan perkhidmatan tambahan untuk pelanggan tetapnya yang berada di luar Tawau. Mereka membuat pembelian hanya melalui panggilan telefon dan dia akan mengirimkan barangan tersebut melalui bas ekspres atau perkhidmatan pos.

Selain barangan dapur, pelbagai barangan lain boleh didapati di pasar ini, termasuk rempah ratus, beras pulut hitam, bermacam jenis keropok dan kekacang, ikan kering serta ikan bilis mata biru.

Seorang pengunjung yang ditemui, Norashikin Sailun, 43, berkata kemudahan mendapatkan bermacam jenis barangan di bawah satu satu bumbung menjadikan Pasar Tanjung pilihan utama beliau untuk membeli barangan dapur.

 

“Harga barangan di sini murah dan pembeli masih boleh tawar-menawar dengan penjual. Pilihan barangan pun banyak walaupun ianya buatan negara jiran, tapi pelanggan sedia maklum kualiti memang terbaik,” ujarnya yang berasal dari Ranau.

Namun begitu, Norashikin berharap agar pihak berwajib dapat menyelesaikan masalah tempat letak kereta bagi memudahkan pengunjung yang semakin bertambah.

“Setakat ini, sekiranya parkir penuh, pelanggan terpaksa ‘double park’ jika singgah membeli. Pada masa akan datang jika UTC sudah mula beroperasi, saya risau keadaan akan bertambah sesak, maka pihak berwajib perlu bertindak segera,” jelasnya.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda