Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangorViral

Grafiti #sehatisejiwa Tarik Minat Golongan Muda

By 25 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan dan Foto Oleh: Noor Suzilawati Jamaludin (Hulu Langat) & Aimi Huwaina (Putrajaya)

BANGI, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Dalam menjayakan sambutan bulan kebangsaan, penglibatan golongan muda turut dititikberatkan.

Menurut pelajar tingkatan empat, Aliah Faqihah, sambutan bulan kebangsaan memang dinantikan pada setiap tahun kerana merupakan hari yang istimewa untuk semua rakyat Malaysia.

“Sambutan ini memang sangat diperlukan supaya kita tak mudah lupa diri. Cuba buat apa-apa yang boleh seperti pelajaran atau sukan supaya dapat mengharumkan nama negara,” kata Aliah.

Seorang lagi pelajar tingkatan yang ditemui Malaysiaaktif, Haree Krishna, 15, berkata, dia menunjukkan semangat patriotiknya dengan mengibarkan jalur gemilang di rumah dan menyertai program-program yang dijalankan pada bulan kebangsaan.

“Golongan belia kenalah menyertai program-program yang dirancang oleh kerajaan atau swasta, memainkan peranan dalam menyebar semangat kemerdekaan kepada semua orang,” katanya.

20160824_150445

 

Sementara itu, seorang guru seni, Adelina Adenan, 35, berkata, penglibatan para pelajar dalam program grafiti ini memperlihatkan semangat dan perpaduan pelajar tanpa mengira bangsa.

“Semangat patriotik bermula dari rumah, ibu bapa yang kena semangat sayangkan negara, tahu sejarah negara kita. Di sekolah kita belajar tentang sejarah, kesedaran sivik, perpaduan di dalam sekolah dan sebagainya,” kata Adelina kepada Malaysiaaktif.

IMG-20160824-WA0050

 

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Penerangan (Pengurusan), Datuk Almain Ajirul, meskipun mengibarkan jalur gemilang merupakan salah satu simbol semangat patriotisme, namun semangat mempertahan negara adalah simbol yang lebih besar.

“Semangat bangga dan suka dengan negara sendiri. Kita tidak mahu negara luar memimpin kita kerana kita adalah sebuah negara yang berdaulat, kita punyai kepimpinan dan kesultanan yang memerintah negara kita,” jelas Almain kepada pemberita selepas merasmikan program Grafiti #sehatisejiwa di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat (SMKJE) , Bandar Baru Bangi, petang semalam.

IMG-20160824-WA0053

 

Tambah Almain, program grafiti ini merupakan salah satu cara untuk memupuk dan menggelorakan semangat patriotisme dalam usaha menyambut bulan kebangsaan, khususnya dalam kalangan para remaja dan pelajar.

“Matlamat program adalah untuk menggambarkan sambutan bulan kebangsaan tahun ini pada setiap ruang, agar kemeriahannya dapat kita rasai bersama. Sikap bekerjasama semasa melukis grafiti berasaskan satu tema yang sama, diharap dapat merakyatkan semangat sehati sejiwa kepada para pelajar,” jelas Almain lagi.

IMG-20160824-WA0066

 

Lukisan grafiti #sehatisejiwa berukuran 75 kaki lebar x 40 kaki tinggi ini diketuai oleh Dr. Marzudi Md Yunus dan enam pereka Jabatan Penerangan Malaysia yang terdiri daripada Azrul Faiz, Yudas Kristo Katulai, Nazneen Nishan, Syarifah Radziah dan Noor Faaza.

25 pelajar tingkatan empat dan lima guru seni SMKJE, turut mengambil bahagian dalam proses melukis grafiti anjuran Jabatan Penerangan Malaysia ini pada 13 dan 20 yang lalu.

Mengambil tema sempena Hari Kebangsaan Ke-59 iaitu  ‘Sehati Sejiwa’ dengan diterapkan konsep grafiti bersama imej gaya hidup masa kini, lukisan grafiti ini menggunakan cat mural  ‘pelaka’, sejenis pewarna yang berasaskan air.

 

-DK
Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda