Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Jangan Politikkan Hari Kebangsaan

By 22 Ogos 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Hari Kebangsaan merupakan sebuah hari yang bersejarah untuk rakyat Malaysia dan sambutannya amat dinanti-nantikan. Namun, kemeriahannya ternoda dengan isu politik.

Seorang peniaga gerai makan di Alor Gajah Sentral, Nordin Yaakub berkata seharusnya rakyat Malaysia tidak terlalu mengikut emosi apabila berbicara tentang politik dan masalah yang membelenggunya.

“Kita minta semua rakyat dan orang awam yang berbilang kaum dalam negara kita ini, janganlah emosi sangat dengan masalah politik kerana masalah politik inilah yang akan merosakkan negara kita,” ujarnya.

Nordin yang ditemui ketika jelajah Kembara Merdeka Peringkat Alor Gajah pada Jumaat turut menambah, walau siapa pun di tampuk pimpinan, semangat sayangkan negara itu perlu diutamakan.

Zaini

Zaini Mohd Tahir – Rakyat Malaysia hidup dalam aman damai.

 

Menurut seorang lagi peniaga, Zaini Mohd Tahir, 46, merdeka memberi maksud tidak dijajah dan ini bermakna rakyat Malaysia hidup dalam keadaan aman dan damai serta tidak perlu berniaga secara sembunyi.

“Setiap kali bulan merdeka, akak akan ikat dan panjat bendera untuk dihias di rumah. Akak tak pernah beli, mana-mana orang yang lalu di depan kedai akak bawa bendera, akak minta.

“Kalau ada yang koyak dan orang buang, akak akan ambil dan baikinya. Akak akan gunting tepinya elok-elok, letak pin dan ikat di pagar rumah,” katanya menjelaskan rasa sayangnya pada Jalur Gemilang.

Manakala, di perhentian seterusnya, Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab, seorang pensyarah Bahasa Arab dan Al Quran di situ, Sheikh Ahmed Salim Selem, 35, berkata keamanan di Malaysia ini membuatkannya merasa selesa dan tenang berbanding di negara kelahirannya, Yemen.

Sheikh Ahmed Salim

Sheikh Ahmed Salim – Suasana aman damai di Malaysia menyebabkan saya berasa selamat untuk keluar ke mana-mana.

 

“Amat berbeza perasaan jika dibandingkan berada di Yemen dalam keadaan yang sedang bergolak sekarang. Di sini, alhamdulillah saya langsung tidak merasa risau untuk keluar bekerja atau ke pasar kerana keadaan yang selamat,” ujarnya yang telah lebih dua tahun mengajar di sini.

Sementara itu, sebanyak 80 kenderaan termasuk 50 motosikal yang melibatkan 250 peserta bersama-sama berkonvoi ke enam perhentian bermula dari Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Balairaya Gadek, Alor Gajah Sentral, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab dan terakhir sekali Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).

Pelajar adtech yang turut sama meraikan pelepasan konvoi

Pelajar ADTEC yang turut sama meraikan pelepasan konvoi.

 

Dalam pada itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Ismail Othman berharap agar konvoi yang dijalankan sepanjang hari itu dapat memberi satu semangat kepada masyarakat untuk mengibarkan jalur gemilang di setiap premis.

Suasana ketika majlis penutupan di kuim

Datuk Ismail Othman (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang bersama-sama Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat KUIM, Prof Datuk Dr. Baharudin Puteh (lima dari kiri) dan Pengarah Penerangan Melaka, Lim Ann Teck (tiga dari kanan).

 

Ismail berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di perhentian terakhir konvoi. Yang hadir sama, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat KUIM, Prof Datuk Dr. Baharudin Puteh dan Pengarah Penerangan Melaka, Lim Ann Teck.

“Ini merupakan semangat yang kita tanam dalam setiap generasi supaya perasaan cinta kepada negara, cinta kepada keamanan dan cinta kepada kesejahteraan membolehkan kita mengecapi keamanan pada hari ini. Sama-sama kita melakukan perkara yang positif demi negara,” kata Ismail.

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda