Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

[KEMASKINI][VIDEO] Ibu Beri Contoh Terbaik Patriotisme

By 22 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka / Video: Mohamad Abdul Molok

MELAKA, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Tidak terkesan dengan gurauan anak-anak ketika mengenakan selempang Jalur Gemilang, seorang surirumah, Zaitun Haji Lambak, 56, tetap bangga dengan hasil kerja tangannya itu.

“Mula-mula, anak-anak ketawakan akak sebab pakai selempang ini, tapi akak teruskan juga. Sebenarnya, anak-anak memang sokong minat akak dan mereka juga rajin belikan akak bendera,” katanya penuh bersemangat.

Menurutnya, kepahitan pernah merasa hidup dalam keadaan susah sewaktu kecil mendorongnya untuk sentiasa mengingatkan anak-anaknya untuk berterima kasih dengan kerajaan kerana menjaga negara ini dengan aman, apatah lagi, dua daripada enam orang anaknya merupakan penerima biasiswa.

Zaitun hj lambak - sulaman tangan

Zaitun Hj Lambak – gembira dengan hasil tangannya (dalam kotak kecil).

 

“Bila dah merdeka, kita nak buat apa pun kita senang hati dan tidak rasa terancam seperti yang berlaku sekarang di beberapa negara luar. Kita yang menonton pun sedih melihatnya,” ujar Zaitun.

Seorang ibu kepada 10 orang anak, Mariam Aman, 50, (gambar utama) juga bersemangat mengenakan baju diperbuat daripada bendera. Minatnya itu turut mempengaruhi keluarga anak sulungnya.

“Sejak empat tahun kebelakangan ini, setiap tahun memang kami sekeluarga akan mengenakan baju daripada bendera dan meraikan malam merdeka bersama-sama. Pada tahun lepas, kami turut serta dalam sambutan yang dibuat di Stadium Kubu,” ujar Mariam.

Datuk abu bakar md diah bersama masyarakat sewaktu perasmian di balairaya sg udang

 

Tambahnya, pada tahun pertama, baju yang dipakainya ringkas sahaja. Namun, sejak anak sulungnya yang juga merupakan seorang tukang jahit mengesyorkan agar mereka mencuba pelbagai fesyen, maka setiap tahun baju mereka akan berubah.

Malaysiaaktif menemui mereka pagi semalam dalam jelajah Kembara Merdeka Peringkat Melaka Tengah di Balairaya Sungai Udang. Kira-kira 100 orang peserta melibatkan 20 kenderaan berkonvoi ke empat lokasi termasuk Balairaya Sungai Udang, The Stadthuys, Pasar Besar dan yang terakhir di Mydin Hypermall, Ayer Keroh.

Datuk rahim abu

Datuk Rahim Abu – pengibaran Jalur Gemilang lambang semangat waja rakyat Malaysia.

 

Sementara itu, Datuk Rahim Abu yang hadir merasmikan majlis penutupan program hari ini berkata dengan mengibarkan jalur gemilang, ia melambangkan berkibarnya semangat waja rakyat sebagai warganegara.

“Kita menyeru kepada semua untuk mengibarkan jalur gemilang di semua lokasi dan yang penting ialah untuk memartabatkan negara kita yang berdaulat lagi sejahtera ini,” ujarnya di majlis tersebut yang turut dihadiri Pengarah Penerangan Melaka, Lim Ann Teck.

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda