
Oleh: Fauzrina Hj Bulka / Foto: Facebook Datuk Seri Idris Haron
MELAKA, 18 Ogos (Malaysiaaktif) – Kerajaan Melaka akan memberi insentif RM50,000 kepada pasangan beregu campuran badminton negara yang berjaya meraih pingat perak kedua buat Malaysia dalam Sukan Olimpik Rio de Janeiro, semalam.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata pemberian insentif tersebut sebagai ganjaran penghargaan atas kejayaan Goh Liu Ying yang merupakan anak jati Melaka dan Chan Peng Soon yang berasal dari Pulau Pinang.
Menurutnya, Liu Ying dan Peng Soon masing-masing akan menerima RM25,000 memandangkan kejayaan tersebut merupakan kerja berpasukan dan kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan ganjaran lain untuk mereka.

Aksi Liu Ying (kiri) dan Peng Soon raih pingat perak kedua Malaysia di Sukan Olimpik Rio de Janeiro. / Foto: mynewshub
“Tahniah dan syabas untuk pasangan Liu Ying dan Peng Soon kerana memenangi pingat perak walaupun kita menaruh harapan tinggi untuk meraih pingat emas. Namun, nasib tidak menyebelahi kita dalam perlawanan akhir ini,” kata Idris kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir beregu campuran itu.
Liu Ying dan Peng Soon tewas kepada gandingan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir 14-21, 12-21 dalam perlawanan akhir beregu campuran badminton Olimpik Rio 2016 yang berlangsung selama 45 minit.

Pasangan beregu campuran badminton Indonesia, Tontowi Ahmad (kiri) dan Liliyana Natsir muncul juara. / Foto: Bernama
Tambahnya, kerajaan negeri turut bercadang untuk menganugerahkan pingat Bintang Cemerlang Melaka kepada Liu Ying yang berjaya mengharumkan nama negara dan Melaka di peringkat antarabangsa.
“Setahu saya, Liu Ying adalah anak perempuan pertama dari negeri Melaka yang berjaya mendapat pingat di peringkat Olimpik. Ini adalah pencapaian yang cukup besar,” ujarnya.
-DZ