Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Sambutan Jubli Perak Masjid Al-Azim Pamer Artifak Berusia Ratusan Tahun

By 4 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka (Melaka)

MELAKA, 4 Ogos (Malaysiaaktif) – Lebih 40 artifak tamadun Islam berusia ratusan tahun bakal menjadi antara tarikan sempena Sambutan Jubli Perak Ke-25 Masjid Al-Azim bermula 1 hingga 31 Ogos ini.

Antara artifak yang akan dipamerkan di Masjid Negeri itu bermula 15 Ogos nanti adalah kain kiswah kaabah, kereta kuda kerajaan Islam Solo dan Jogja, porselin berusia 900 tahun, manuskrip nusantara lebih 200 tahun dan alatan memanah tradisional Islam.

Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Yaakub Md Amin, pameran berkenaan antara 32 program menarik yang diatur dalam mendekatkan masyarakat dengan institusi berkenaan.

Datuk Yaakub Md Amin

Sambutan Jubli Perak Masjid Al-Azim, Bukit Palah dapat tunjukkan peranan masjid yang sebenar, dan bukan hanya untuk orang tua – Timbalan MAIM, Datuk Yaakub Md Amin

“Kita sudah atur pelbagai pengisian menarik dalam mendekatkan masyarakat dengan masjid antaranya pameran artifak, seminar, pelbagai pertandingan dan juga bazar karnival. Pendedahan ini juga dapat menunjukkan peranan masjid yang sebenar kepada pengunjung yang pelbagai peringkat umur.

“Kita turut melibatkan kanak-kanak dalam program ini untuk menghidupkan semula masjid dan menjauhkan persepsi bahawa masjid adalah tempat untuk orang tua sahaja,” katanya kepada pemberita di pejabat Pusat Islam, petang semalam.

2

Yaakub turut menyasarkan lebih 75,000 pengunjung sepanjang sambutan itu berlangsung berikutan mendapat respon luar jangkaan pada pameran artifak Rasulullah pada bulan Mei lalu.

“Insya-Allah, usaha kita akan berjaya dalam menghidupkan masjid dengan pengisian yang memberi input kepada pengunjung nanti. Dengan pelbagai program ini, secara tak langsung mendekatkan hati kita dengan Islam,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Galeri Warisan M.A.R. Prof. Dr. Abd Manan Embong berkata, antara objektif pameran tersebut adalah memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat dengan lebih dekat artifak tamadun Islam yang sudah berusia ratusan tahun.

Prof Dr Abd Manan menunjukkan salah satu artifak yang akan dipamerkan.

Prof Dr Abd Manan menunjukkan salah satu artifak yang akan dipamerkan.

“Kali ini kita bawa artifak yang baharu, lain daripada pameran artifak Rasulullah yang lalu. Sebagai kelainan, kita turut mengadakan Bengkel Falak iaitu pengunjung akan berpeluang mempelajari cara melihat arah kiblat menggunakan alat falak seperti arudh dan qawafi yang mahir digunakan cendekiawan Islam, Sheikh Abdullah Fahim,” jelas Abd Manan.

Selain Pameran Tamadun Islam ini, Sambutan Jubli Perak Masjid Al-Azim turut mengadakan pelbagai aktiviti menarik seperti Belajar Memanah Cara Tradisional, Pertandingan Wefie ‘Masjid Dihatiku’, Pertandingan Khatib Muda Terbuka, dan Pertandingan Kereta Tamiyya.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda