Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Peniaga Pasar Besar Melaka Berpindah ‘Rela Dalam Paksa’

By 5 Ogos 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka (Melaka)

MELAKA, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Rata-rata peniaga yang sudah bertahun mencari rezeki di Kompleks Pasar Besar Melaka, ‘rela dalam paksa’ dengan arahan untuk berpindah sementara ke khemah yang disediakan di perkarangan pasar itu berikutan keadaan bangunan yang dipercayai mendap dan berbahaya.

Berkuat kuasa pada Isnin hadapan, para peniaga perlu menjalankan perniagaan di bawah khemah tersebut selama tiga bulan sebelum dipindahkan ke kawasan baharu yang terletak berhampiran Pasaraya KipMart, Bachang.

Malaysiaaktif turut meninjau keadaan di Pasar Besar Melaka dan melihat sendiri keadaan beberapa tiang bangunan yang retak hingga menimbulkan keresahan di kalangan peniaga dan pelanggan.

Keadaan salah satu tiang yang retak di Kompleks Pasar Besar Melaka.

Keadaan salah satu tiang yang retak di Kompleks Pasar Besar Melaka.

 

Menurut peniaga Nasi Gunting yang terkenal di situ, Haji Awal Hj Juki, 52, dia terpaksa akur dengan arahan yang dikeluarkan, namun, dia mengharapkan agar khemah yang disediakan turut disertakan dengan segala kemudahan untuk keselesaan pelanggan dan mereka sendiri sebagai peniaga.

Peniaga Nasi Gunting, Haji Awal Hj Juki, 52, akur dengan arahan yang dikeluarkan.

Peniaga Nasi Gunting, Haji Awal Hj Juki, 52, akur dengan arahan yang dikeluarkan.

 

“Pakcik ini berniaga makanan, jadi, pakcik harapkan khemah itu selesa dan cukup dengan kemudahan seperti air untuk basuh pinggan dan kerusi meja untuk pelanggan makan. Kita tidak mahu pelanggan nanti tidak selesa dan menjejaskan perniagaan kita kerana khemah juga perlu dikongsi dua dengan peniaga lain,” ujarnya.

Bagi peniaga kedai makanan, khemah yang berukuran 20×20 kaki itu perlu dikongsi dua manakala, peniaga yang berniaga barang basah seperti ikan, udang dan sayuran perlu dikongsi empat.

Tali keselamatan turut dipasang sekitar pasar besar.

Tali keselamatan turut dipasang sekitar pasar besar.

 

Kebanyakan peniaga tidak menyangka isu sebegini akan timbul kerana pasar tersebut baru berusia 12 tahun. Majlis perasmiannya dilangsungkan serentak dengan Melaka Sentral oleh Perdana Menteri yang keempat, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada 14 Mei 2004.

Menurut seorang pelanggan setia pasar besar, Asnah Mat Jan, 65, dia mengharapkan agar pihak kerajaan dapat memastikan semua penjual akan kembali berniaga di tempat yang sama selepas penaiktarafan kerana lokasi yang berhampiran dengan rumahnya di Durian Daun.

“Makcik ambil masa 10 minit saja untuk ke pasar dan tidak pernah berbelanja di pasar raya kerana di sini senang nak cari sayur kampung. Ikan pun banyak pilihan dan kalau letih, makcik boleh ke tingkat atas untuk bersarapan,” katanya kepada Malaysiaaktif.

Asnah Mat Jan, 65, yang tinggal di Durian Daun, terpaksa ke lokasi baharu pasar di Bachang untuk membeli barangan harian.

Asnah Mat Jan, 65, (kiri) yang tinggal di Durian Daun, terpaksa ke lokasi baharu pasar di Bachang untuk membeli barangan harian.

 

Ketika ditanya jika dia akan membeli di pasar besar walaupun sudah berubah lokasi, Asnah berkata dia terpaksa juga ke lokasi baharu kerana berbelanja di pasar memberi kepuasan yang tersendiri pada dirinya.

Dalam pada itu, perpindahan Pasar Besar Melaka ke Pasaraya KipMart mungkin akan mewujudkan persaingan dengan peniaga-peniaga sedia ada di sana. Seorang peniaga ikan yang ditemui, Wahid Jaya, 64, berkata persaingan sentiasa wujud walau di mana sahaja lokasi berniaga.

“Kita tidak perlu timbulkan isu sewa atau persaingan, tapi yang perlu difikirkan adalah lokasi dan pelanggan setia yang selama ini sentiasa menyokong kita selama 28 tahun berniaga; semenjak dari pasar lama di Kampung Jawa lagi,” jelas Wahid.

Wahid Jaya, 64 tahun - "Guna tempoh tiga tahun itu untuk bina bangunan yang lebih kukuh dan tahan lama."

Wahid Jaya, 64 tahun – “Guna tempoh tiga tahun itu untuk bina bangunan yang lebih kukuh dan tahan lama.”

 

Wahid, yang tinggal di Bachang, mengharapkan agar tempoh tiga tahun yang diperuntukkan untuk menaik taraf pasar baharu digunakan sebaiknya dengan membina bangunan yang lebih kukuh dan tahan lama walau sehingga 90 tahun akan datang.

Selain itu, Wahid turut mencadangkan agar pihak berwajib mengambil inisiatif untuk menyewa padang bola yang terletak bersebelahan pasar untuk digunakan sebagai tapak parkir sementara, memandangkan yang sedia ada kini menempatkan khemah untuk peniaga.

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda