Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

PPR Krubong Mesra OKU, Pertama di Melaka

By 25 Ogos 2016Mac 17th, 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Julung kalinya di Melaka, sebanyak 16 unit khusus yang menitikberatkan keselesaan dan kemudahan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) disediakan dalam Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong.

Menurut Timbalan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Sazali Muhd Din, 16 unit tersebut terletak di aras bawah pangsapuri dan keutamaan akan diberi kepada OKU fizikal.

“Manakala, OKU kategori yang lain mungkin akan ditempatkan di aras satu atau dua dan turut meliputi semua kaum yang ada di Malaysia,” jelasnya.

Kos keseluruhan PPR yang mempunyai 600 unit ini menelan belanja sebanyak RM101 juta termasuk tanah dan infrastruktur yang disediakan termasuk surau, tadika, taman permainan kanak-kanak, dewan, gelanggang futsal dan sepak takraw serta gerai makan.

Taman Permainan PPR Krubong

Taman permainan kanak-kanak yang telah siap dibina.

 

“Sebanyak 1,496 permohonan telah diterima namun keutamaan diberikan kepada pemohon dalam Parlimen Tangga Batu yang meliputi empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Paya Rumput, Sungai Udang, Pantai Kundor dan Klebang,” ujar Sazali.

Daripada jumlah tersebut, seramai 995 pemohon dipanggil untuk hadiri temu duga namun hanya 748 yang hadir.

Panel temu duga terdiri daripada Pejabat Daerah, Penghulu Kawasan, wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) manakala urus setianya di bawah Lembaga Perumahan Melaka dan Sazali sendiri bertindak sebagai pemantau.

Surau antara kemudahan yang disediakan di PPR Krubong selain tadika, gerai makan, dan lain-lain.

Surau antara kemudahan yang disediakan di PPR Krubong selain tadika, gerai makan, dewan dan lain-lain.

 

“Selesai sahaja temuduga, kita sebagai jawatankuasa pengisian akan memanggil pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) kerana kita mahu proses ini dilaksanakan secara telus.

“SPRM akan lihat semua prosedur yang dijalankan sebelum dimasukkan pula ke dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN),” katanya ketika kepada pemberita selepas Lawatan Kerja Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar di Melaka pagi tadi.

Timbalan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Sazali Muhd Din (empat dari kiri), bersama Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar (tengah) dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (empat dari kanan).

Timbalan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Sazali Muhd Din (empat dari kiri), bersama Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar (tengah) dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (empat dari kanan).

 

Selepas itu, juga pertama kali diadakan di Melaka, Lembaga Perumahan Melaka (LPM) akan mempamerkan tempoh bantahan selama dua minggu di Kompleks JAPERUN, LPM, di kawasan tapak PPR sendiri dan juga dalam akhbar rasmi kerajaan negeri.

“LPM mengambil pendekatan penjualan rumah secara sewa beli dan tempoh yang diberikan adalah dalam tiga hingga lima tahun. Ini bagi memastikan supaya mereka yang benar-benar layak sahaja boleh memiliki rumah ini dan mengelakkan rumah ini disewakan,” katanya.

Dalam pada itu, Sazali berkata anggaran harga jual tertakhluk kepada keputusan jemaah menteri, namun jika berdasarkan projek yang lepas, harganya dianggarkan sekitar di bawah RM40 ribu.

“Kita tidak dapat nak putuskan harga jual kerana mengikut nilai pasaran sebenar, harga rumah termasuk tanah dan infrastruktur mencecah RM160 ribu. Selebihnya adalah subsidi kerajaan persekutuan kerana nak memberi keselesaan kepada rakyat,” katanya.

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda