Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Amuk, Tiga Sekeluarga Maut Dikelar

By 25 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Tiga beranak maut dipercayai dikelar oleh seorang lelaki disyaki ahli keluarga di sebuah rumah di Kampung Bertam Malim, di sini, pagi tadi.

Mariah Baharin, 61, suaminya, Hassan A. Wahab, 72, dan anak bongsu mereka, Mohd Taufeq Hassan, 22, maut dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi tadi. Manakala, dua anak perempuan pasangan terbabit, Noor Haslinda Hassan, 27, dan Noor Aqidah Hassan, 24, dipercayai cedera di bahagian bahu ke atas dan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Melaka, Datuk Ramli Din berkata, ketiga-tiga mangsa ditemui mati di dua bilik berasingan dan di ruang tamu. Ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan di bahagian tengkuk ke atas dipercayai dicederakan suspek menggunakan senjata tajam.

“Pihak polis menerima maklumat kira-kira jam 7 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian. Kita sedang siasat motif pembunuhan namun suspek dipercayai ahli keluarga yang tinggal bersama dalam rumah ini,” katanya.

1

Difahamkan, kelima-lima mangsa dipercayai dicederakan seorang lelaki yang merupakan anak angkat Mariah berusia 26 tahun dan tinggal di rumah berkenaan serta dipercayai di bawah pengaruh dadah.

“Namun begitu, suspek sudah diberkas polis kira-kira pukul 11 pagi di dalam kawasan Masjid Al-Falah, Batu 6 1/2, Bukit Rambai.

“Suspek ditahan hasil maklumat orang awam di dalam tandas masjid yang terletak kira-kira 5.5 kilometer dari tempat kejadian di Kampung Bertam Malim,” jelas Ramli dalam sidang media di tempat kejadian tadi.

Rumah itu turut didiami dua ahli keluarga lain iaitu ibu Mariah, Katijah Mohamed, 75, yang hanya mengalami kecederaan ringan sementara anak saudaranya Mohammad Qabir Abd Rahman, 21, yang ketika kejadian tiada di rumah kerana bekerja.

Tambah Ramli, suspek yang dipercayai mempunyai rekod lampau dadah itu kini ditahan bagi membantu kes ini yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda