Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Rumah ‘Kemerdekaan’ Kampung Morten, Warisan Ibu

By 20 Ogos 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 20 Ogos (Malaysiaaktif) – Di kala menikmati keindahan suasana Kampung Morten, sebuah rumah kelihatan lebih menonjol dengan lukisan Jalur Gemilang terpampang di bahagian bumbung serta tulisan ‘MERDEKA’ yang jelas dapat dibaca di hadapan rumah.

Pemilik kediaman tradisional dengan dekorasi dan landskap penuh semangat patriotisme tersebut, Aminah Abu Bakar, 65, berkongsi kisah semangat yang diwarisi dari ibunya semenjak tujuh tahun lalu.

Menurut Aminah, ibunya sangat menitikberatkan sambutan kemerdekaan semenjak dia kecil lagi dan akan menyediakan banyak bendera apabila tibanya bulan Ogos.

3

“Ibu sentiasa mengingatkan anak-anaknya untuk selalu bersyukur dengan keadaan aman yang kita nikmati dan dia selalu marah kalau kami lambat gantung bendera,” kata Aminah.

Tambahnya, ketika berusia tujuh tahun, ayahnya turut membawanya ke tapak Memorial Kemerdekaan untuk tidak melepaskan peluang melaungkan merdeka bersama ribuan orang yang hadir.

5

“Sebab itu, setiap kali bulan Ogos, makcik akan gantung bendera di sekeliling rumah dan kalau lambat pasang, ia akan memberi kesan pada makcik,” ujarnya ketika ditemui.

Menurutnya, lukisan di bumbung rumah dan warna di dindingnya tidak pernah berubah, dia hanya menambah hiasan bendera di sekeliling rumah.

2

“Makcik akan membelanjakan sebanyak RM100 setiap tahun untuk membeli bendera, dan pakai semula bendera lama yang masih cantik.

Aminah bersama baju Jalur Gemilang untuk cucu-cucunya yang dijahit sendiri.

Aminah bersama baju Jalur Gemilang untuk cucu-cucunya yang dijahit sendiri.

“Makcik pun ada jahit baju daripada bendera untuk tiga orang cucu makcik. Makcik memang suka perkara macam ini, lagipun, di waktu yang sama boleh menerapkan nilai patriotik sejak mereka kecil,” kata Aminah lagi.

Meneruskan tradisi keluarga, dia turut merancang untuk membawa cucu-cucunya menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti, supaya mereka dapat merasai sendiri semangat cintakan tanah air dalam kalangan orang ramai.

Apa yang menarik, Aminah turut mempunyai menu khas yang pasti disediakan saban tahun menyambut detik bersejarah itu.

“Setiap kali malam merdeka, makcik akan buat menu khas seperti sambutan hari raya juga iaitu ibu kayu rebus dengan ikan bilis bagi mengenang kesusahan orang terdahulu sebelum merdeka.

“Jadi, makcik amat berharap agar generasi sekarang menghargai keharmonian yang dikecapi kini dan sentiasa mengingati sejarah agar sentiasa bersyukur serta menghargai tokoh yang banyak berjasa kepada negara,” ujarnya panjang lebar.

 

 

 

-DZ

Tinggalkan komen anda