Skip to main content
Berita Tempatan

Kisah Tun Datu Haji Mustapha ke Peringkat Akhir Pengisahan Kenegaraan

By 2 September 2016November 25th, 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh:Muhammad Khairul Azad Yunus & Vicky Sylvester Matanjang (Sabah)

SIPITANG, 2 Sept (Malaysiaktif) – Peserta yang mewakili Bahagian Pantai Barat Utara, Raizah Uli, tidak menyangka cerita ketokohan Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun berjaya membawa beliau ke peringkat Akhir.

“Saya berharap anak-anak muda dapat menghargai pengorbanan pejuang terdahulu tanpa mengira batasan kaum dan agama,” katanya semasa ditemui media semalam.

Tiga kumpulan yang mewakili Pantai Barat Selatan (PBS), Pantai Barat Utara (PBU) dan Tawau bakal berentap pada Pertandingan Akhir Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia Peringkat Sabah 2016.

Pada pertandingan peringkat saringan, ketiga – tiga kumpulan tersebut berjaya memikat hati juri dengan persembahan penuh bertenaga dan sarat dengan penghayatan selain kekuatan jalan cerita yang dibawa.

Raizah Uli, turut tidak menyembunyikan harapannya untuk menjadi johan pada pertandingan itu dan akan membuat persembahan yang terbaik bersama-sama rakannya yang lain.

Sebanyak enam kumpulan mewakili daerah termasuk dari Sandakan, Keningau dan Beaufort bertanding pada peringkat saringan yang telah diadakan di Dewan SMK Pengiran Omar 2, Sipitang, Khamis pagi.

Seorang peserta yang mewakili PBS, Mohd Saqafi Jubar Khan tidak mahu dibuai dengan kejayaan mara ke peringkat akhir akan terus membuat persiapan yang lebih rapi.

Mohd Saqafi juga tekad untuk tidak mengecewakan keluarga serta semua pihak yang telah banyak membantu mereka sehingga sampai ke tahap sekarang.

“Kami akan meningkatkan kekuatan mental dan fizikal kami agar lebih bersedia dan memberi persembahan terbaik supaya dapat menarik perhatian penonton,” jelasnya.

Manakala Noor Hani Moktar yang mewakili Tawau pula berasa sangat bersyukur kerana terpilih untuk terus beraksi pada peringkat akhir.

“Kekangan masa dan komitmen kerja sebagai guru tidak menghalang kami untuk memberikan yang terbaik pada hari ini.

“Walaupun ini merupakan penyertaan kali pertama, kami yakin boleh memberikan saingan kepada kumpulan lain,” ujarnya.

Pertandingan Akhir Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia Peringkat Sabah 2016 akan diadakan pada 8.00 malam ini di Dataran Esplanade Sipitang.

SF 

Tinggalkan komen anda