Laporan oleh Mohd Ariff Ishak
KLANG, 20 Sep (Malaysiaaktif) – Sejumlah 152 orang mangsa banjir dilaporkan setakat ini di daerah Klang yang melibatkan sebanyak 34 buah keluarga.
Mangsa yang terlibat adalah terdiri daripada 39 orang lelaki dewasa, 41 orang perempuan dewasa, 32 orang kanak-kanak lelaki, 34 orang kanak-kanak perempuan, 2 bayi lelaki, dan 4 bayi perempuan.
Fenomena air laut pasang dan benteng saliran air yang telah pecah punca bencana banjir melanda beberapa rumah penduduk Kampung Tok Muda, Kapar Klang.
Mangsa, Siti Robilah Kasdar, 46 tahun memberitahu, “Bencana air ini berpunca daripada benteng air yang sudah pecah dan melimpah ke rumah penduduk setempat”.
Tambahnya, “Banyak kerosakkan harta benda seperti peti ais, televisyen dan peralatan-peralatan yang lain”.
Pihak Tindakan Bencana Kerajaan Negeri Selangor telah membuka pusat pemindahan mangsa banjir di Dewan Kampung Tok Muda, Kapar sejak pukul 5.00 petang semalam.
Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Sementa, Dr. Daroyah Alwi turun padang dan meninjau keadaan mangsa-mangsa banjir berkenaan. Beliau turut berjanji akan membawa hal ini kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk diberikan bantuan yang sepatutnya dan mengambil tindakan supaya permasalah seperti ini tidak berulang.
Kit bencana telah diserahkan kepada mangsa yg berpindah ke Pusat Pemindahan. Pelbagai Agensi Kerajaan telah terlibat antaranya seperti Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia(APAM), Klinik Kesihatan Daerah Klang, JKM Klang, Majlis Perbandaran Klang(MPK), Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), UMNO Bahagian Kapar/Sementa dan Ahli Jawatankuasa Kampung Sementa.
Menurut anggota bomba, Mohd Azrul Hafiz, “Pihak bomba sedang menyusun langkah berjaga-jaga dan akan memantau keadaan mangsa serta lokasi setiap 2 jam”.
Setakat ini keadaan terkini paras air banjir telah beransur pulih tetapi mangsa banjir tidak dibenarkan pulang sehingga diberitahu oleh pihak keselamatan bencana. Pihak Keselamatan yang terlibat telah memastikan keselamatan penduduk dijaga dan keadaan masih terkawal.
-DK