Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Lulusan Kolej Komuniti, Gaji Setaraf Pemegang Ijazah

By 20 September 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

 Oleh: Fauzrina Hj Bulka / Foto: Ihsan Muhammad Amirul Safwan Nor Din

MELAKA, 20 Sept (Malaysiaaktif) – Komitmen dan kesungguhan Muhammad Amirul Safwan Nor Din, 21, semasa menjalani latihan industri di salah sebuah butik terkemuka di negeri ini terbukti berbaloi apabila menerima Anugerah Industri di Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Sembilan, Melaka dan Johor 2016 baru-baru ini.

“Sebenarnya saya langsung tiada kemahiran menjahit dan saya bukan daripada keluarga yang pandai menjahit. Saya mempelajari dunia jahitan dan mengenali segala peralatan menjahit di Kolej Komuniti Bukit Beruang Melaka (KKBBM),” ujar Safwan yang ditemui pada majlis tersebut di Universiti Teknikal Melaka (UTeM).

dengan-rakan-baik

Safwan bergambar kenangan bersama dua rakan baiknya yang turut sama membuat latihan praktikal di tempat yang sama, Nor Marzhiyah Mahadi (kiri) dan Nor Liza Karim (kanan) sewaktu hari konvokesyen baru-baru ini.

 

Menurutnya, dia berasa gementar ketika hari pertama praktikal di butik itu yang menjadi pilihan artis untuk membuat baju. Dia turut rasa bertuah kerana digandingkan sekali dengan dua sahabat baiknya iaitu Nur Marzhiyah Mahadi, 22, dan Nor Liza Karim, 23, yang mahir dalam bidang jahitan.

dengan-siti-nurhaliza

Pelanggan pertama Safwan ketika latihan industri, Datuk Siti Nurhaliza.

 

“Bos saya (Ery Azree, gambar utama) sangat baik dan suka menonjolkan kami dalam apa-apa program yang berkaitan fesyen dan juga dunia perniagaan. Paling saya tidak dapat lupakan apabila pertama kali diminta melayani pelanggan dan pelanggan tersebut ialah artis terkenal Dato Siti Nurhaliza dan ratu primadona kita Erra Fazira,” ujarnya.

Memasang cita-cita untuk menjadi seorang pensyarah fesyen, Safwan berkata banyak cabaran yang ditempuhinya ketika menjalani latihan praktikal namun dapat dikendalikan dengan baik.

dengan-erra-fazira

Safwan bergambar bersama selebriti terkenal tanah air, Erra Fazira.

 

“Cabaran yang tidak dapat dilupakan apabila saya diberi kepercayaan oleh pihak syarikat untuk mengendalikan baju pengantin. Walaupun mula-mula saya rasa kekok tapi saya pun masih dalam proses belajar,” ujar Safwan yang juga pemenang emas dalam pertandingan Inovasi dan Rekacipta Peringkat Kebangsaan.

Kini, mereka bertiga yang juga bekas pelajar jurusan fesyen dan pakaian KKBBM kini boleh menarik nafas lega apabila ditawarkan pekerjaan di syarikat berkenaan dengan pendapatan masing-masing sebanyak RM2,300 sebulan, setaraf dengan pendapatan pemegang ijazah.

Anak muda kelahiran Melaka itu juga terpilih menerima Anugerah Pelajar Cemerlang (APC) dengan pencapaian CGPA 3.99 di majlis konvokesyen tersebut yang menjadi kemuncak kepada pencapaian dan pengalamannya semasa berada di KKBBM.

dengan-nana

Penyanyi, Siti Nordiana juga merupakan salah seorang pelanggan Safwan.

“Saya akui segala ilmu, kemahiran dan pengalaman semasa belajar amat berguna untuk kejayaan kini dan masa depan. Saya tidak menyangka kemahiran dan kelulusan sijil saya ini telah memberi peluang untuk saya menerokai bidang ini dengan lebih jauh,” jelasnya.

Tambahnya, dia merancang untuk merebut peluang yang ada untuk mencari pengalaman sebelum menyambung pelajaran ke Politeknik.

Sementara itu, Pengarah KKBBM, Jamalluddin Mohd Ali berkata, kejayaan membanggakan tiga pelajarnya itu  merupakan hasil kesungguhan mereka menguasai ilmu dan kemahiran yang dipelajari semasa di kolej.

bersama-ibu-bapa-dan-pengarah-kkbbm

Safwan bersama ibu bapanya, Nor Johana Abdullah dan Nor Din Ibrahim serta Pengarah KKBBM (dua daripada kiri), Jamalluddin Mohd Ali.

 

“Kejayaan mereka membuktikan pelajar lulusan Kolej Komuniti menjadi pilihan industri. Seterusnya, para pelajar mampu mendapat pekerjaan serta berpendapatan tinggi.

“KKBBM komited merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan pelajar yang holistik, seimbang dan berciri keusahawanan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda