Oleh Asmidar Zainol (Sabah)
PUTATAN,11 September (Malaysiaktif) – Penerima Anugerah Penternak Ikan Jaya, anak jati Ranau, Adib Ajwad Ramlie, 25, ?menyifatkan kejayaannya itu sebagai pengiktirafan paling tinggi buat diri serta keluarga setelah berjaya mengusaha kolam ikan air tawar daripada bapanya.
“Membesar sebagai anak penternak ikan sejak kecil memberi satu kelebihan kerana saya dapat belajar melalui pengalaman bersama bapa.
“Setelah tamat Tingkatan 6, saya mengambil keputusan untuk terus berkerja dan membantu bapa mengusahakan kolam ikan kami.
“Sehingga kini, kami mempunyai 40 kolam ikan air tawar dengan pelbagai spesis antaranya Keli, Talipa, Kaloi, Koi dan Kelisa yang membolehkan saya meraih purata pendapatan sehingga RM300 ribu setahun.
Menurut Adib, pelanggannya merupakan penduduk setempat, restoren dan kolam-kolam ikan di seluruh Sabah.
Sehingga kini, dia mendapat sokongan keluarga untuk menguruskan perniagaannya dan mendapat sokongan daripada Jabatan Perikanan.
Lebih menarik, pemilik Lembah Ikan Ranau ini turut menghasilkan baja ikannya sendiri.
“Baja atau makanan ikan ini kami hasilkan sendiri daripada kulit padi dan ikan bilis yang dikisar.
“Kulit padi kami perolehi daripada Kota Belud manakala ikan bilis kami perolehi dari Tawau.
“Penghasilan baja ikan ini dapat membantu mengurangkan kos mengurus kolam.
“Bagaimanapun, setakat ini kami tidak memasarkan baja ikan, ia hanya untuk kegunaan kolam sendiri,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sabah dan ‘Road To MAHA’ 2016 di Dewan Sri Putatan, pada Sabtu.
Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi, Adib tersenyum sambil menyatakan bahawa tiada masalah besar melainkan kes kecurian sehingga memaksa dirinya tidur di kawasan kolam bagi menjaga kolam berkenaan.
Adib berhasrat membuka ladang kelapa sawit dengan kapisiti besar yang diselang seli dengan tanaman lain serta membuka chalet di kawasan kolamnya
Selain dari menternak ikan, Adib turut memelihara kambing, lembu, itik di samping mengusahakan ladang durian.