Skip to main content
Berita TempatanSabah

CPR Mampu Selamatkan Nyawa

By 27 September 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh:? Liza Abdullah & Mohd Yusuf MD (Sabah)

TAWAU, 27 Sept (Malaysiaktif) –Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) atau dikenali sebagai bantuan pernafasan dari mulut ke mulut dan tekanan dada merupakan suatu usaha pertolongan cemas untuk memulihkan pernafasan mangsa yang terhenti atau berfungsi tidak normal.

Kaedah CPR sering menimbulkan ketidakselesaan masyarakat dalam menyelamatkan mangsa, mungkin disebabkan faktor budaya atau agama atas sebab perlakuan ‘hembusan nafas dari mulut ke mulut’ atau tidak memahami konsep sebenar CPR.

Menurut Pembantu Perubatan Hospital Tawau Haji Edy Abdul Wahid, pengetahuan yang diperoleh seseorang individu terhadap kaedah pelaksanaan CPR terhadap seseorang mangsa sebenarnya mampu memulihkan pernafasan mangsa.

Jelasnya, Kaedah CPR sebenarnya membantu memulihkan pernafasan mangsa melalui cara memastikan bekalan darah dan oksigen dapat terus disalurkan ke seluruh tubuh mangsa apabila fungsi atau denyut jantung mengalami kegagalan secara tiba-tiba.

“Di Jabatan Kecemasan dan Trauma, terdapat pesakit yang berjaya diselamatkan sebelum tiba di hospital kerana mendapat bantuan CPR daripada ahli keluarga”, katanya lagi ketika ditemui pada program Mass CPR – From Hands To Heart di Dewan Masyarakat Perbandaran Tawau pada Isnin.

Tambahnya, CPR ialah ilmu yang berguna dan mampu menyelamatkan nyawa mangsa sebelum bantuan sepenuhnya tiba.

Program kerjasama antara Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tawau bersama Majlis Perbandaran Tawau, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia itu berjaya memberi tunjuk ajar tatacara CPR dengan lebih tepat, betul dan efisen.

Sementara itu, Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Alijus Haji Sipil berkata program ini adalah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan CPR agar peluang pesakit untuk diselamatkan lebih tinggi.

“Diharap melalui program ini masyarakat akan lebih memahami cara dan kaedah sebenar melakukan CPR jika berlaku kecemasan”, katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Seramai 1000 peserta terdiri daripada pelajar sekolah dan masyarakat setempat hadir ke program tersebut sambil berpeluang melakukan sendiri demo CPR atas tunjuk ajar daripada fasilitator bertauliah.

SF

Tinggalkan komen anda