Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Cipta Nama Pada Usia Muda

By 27 September 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 27 Sept (Malaysiaaktif) – Cita-cita ingin menjadi doktor suatu hari nanti bukanlah penghalang kepada seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Infant Jesus Convent di sini untuk turut mencipta nama dalam bidang muzik yang digemari seawal usia tujuh tahun iaitu menggesek biola.

Menurut Foo Eu Fang, 17, minat dalam bidang muzik baginya adalah untuk membantu menenangkan fikiran serta tidak mahu menghampakan ibu bapa serta pihak sekolah yang banyak berkorban dan memberi peluang untuknya beraksi di pentas antarabangsa.

Berkongsi bagaimana minatnya terhadap biola berputik, Eu Fang berkata dia gemar melihat ibunya bermain piano dan kakaknya bermain biola membuatkannya jatuh cinta untuk turut sama bermain alat muzik tersebut.

“Ketika itu saya baru berusia lima tahun dan ibu juga memberi galakan asalkan saya tahu membahagikan masa. Malah, ayah pula akan membawa saya menjalani latihan di Kuala Lumpur setiap hujung minggu untuk mendapatkan latihan secara lebih terperinci,” katanya yang juga Pemenang Anugerah Tunas Jaya Kebangsaan 2013 dan 2015.

Bakatnya kian menyerlah setelah menyertai Permata Seni Negara pada tahun 2009 yang lahir daripada ilham dan inisiatif isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam usaha untuk membina peribadi yang baik dan kukuh sejak usia muda.

“Saya tidak sangka bakat saya mendapat perhatian daripada Datin Seri Rosmah sendiri dan juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron. Berbekalkan biola, saya dah pergi ke pelbagai negara untuk membuat persembahan mewakili negara,” ujar Eu Fang dengan nada gembira kepada Malaysiaaktif ketika ditemui di sekolahnya.

Kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh Eu Fang ialah apabila membuat persembahan solo di ASEAN Summit Kuala Lumpur tahun lalu untuk semua presiden ASEAN termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan yang terbaharu, Jun lalu dia membuat persembahan di Turki.

 

Walaupun sibuk menjalani latihan muzik, namun dia juga menjadi anak emas sekolah apabila sentiasa cemerlang dalam akademik dan berjaya mendapat keputusan 10A dalam peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini.

Eu Fang yang juga pemenang International Youth Music Festival bagi kategori diploma pada tahun 2013 boleh berdiri setaraf dengan pemain profesional yang lain apabila memiliki  lima orang pelajar yang datang berlatih biola di rumahnya.

“Saya mempunyai lima pelajar dalam lingkungan umur tujuh hingga 22 tahun. Saya melatih mereka bermain biola selepas waktu persekolahan atau pada hari minggu,” kata Eu Fang yang tinggal di Air Leleh, di sini.

Bagi 30 minit waktu latihan, Eu Fang mengenakan bayaran serendah RM30 dan ini dapat membantunya untuk menyimpan dan menabung.

Eu Fang turut menunjukkan biola kesayangannya keluaran tahun 1986, bernilai lebih RM60,000 pemberian bekas guru biolanya yang juga pemain biola tersohor, mendiang Brian Tan.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda