Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Elak Pelajar Terjebak Najis Dadah

By 6 September 2016Tiada komen1 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka    

MELAKA, 6 Sept ( Malaysiaaktif) – Sebanyak 6,000 kelab pencegahan di sekolah rendah dan menengah seluruh negara diwujudkan untuk memberi peringatan kepada pelajar-pelajar di sekolah untuk menjauhi diri daripada jenayah mahupun najis dadah.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata inisiatif ini selari dengan ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah mengistiharkan perang dadah habis-habisan pada awal tahun ini dan perkara ini perlu ditangani bersama termasuk bantuan dari ibu bapa.

“Sebab itu, MCPF fokus kepada usaha mendekati pelajar dengan menganjurkan pelbagai aktiviti bagi mengingatkan mereka tentang bahayanya jenayah terutamanya dadah sebab ada kes-kes telah dikenalpasti oleh polis melibatkan pelajar,” katanya selepas program MCPF Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka di Hotel Ramada, semalam.

Sebanyak 1,851 kes perangkaan indeks jenayah termasuk berkaitan najis dadah membabitkan pelajar yang dikeluarkan Bukit Aman sepanjang tahun lalu. Namun, dengan kerjasama semua pihak secara berterusan, angka berkenaan semakin menurun dari tahun ke tahun.

“Pada 2013, jumlah jenayah indeks membabitkan pelajar sebanyak 2,483 berbanding 2014 dengan 2,073 yang menunjukkan penurunan sebanyak 17 peratus. Malah, jumlah tersebut terus menurun pada tahun lalu dengan 1,851 kes dengan penurunan sebanyak 10.7 peratus,” jelasnya.

Turut hadir, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti, ACP Zulkifli Che Wail, Pengerusi Perhubungan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Melaka, Jason Yow dan Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Melaka, Edison Chan.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda